ASHLEY kini menduduki kelompok 60 pemain golf terbaik dan dijangka layak secara merit ke Paris 2024. FOTO ARKIB NSTP
ASHLEY kini menduduki kelompok 60 pemain golf terbaik dan dijangka layak secara merit ke Paris 2024. FOTO ARKIB NSTP
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Lima lagi atlet negara dijangka turut beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan atlet negara pada edisi kali ini dianggarkan 26 orang.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Sukan) Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin berkata, daripada lima atlet itu, tiga membabitkan tiket wild card iaitu dua acara renang serta satu menerusi olahraga.

Acara terjun pula menunggu satu tiket yang dinamakan sebagai 'kuota tidak digunakan' dan ia bergantung kepada keputusan Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA).

Sementara itu, satu lagi tiket adalah menerusi acara golf wanita apabila Ashley Lau dijangka layak secara merit berikutan ketika ini menempatkan diri dalam kelompok 60 pemain terbaik layak ke temasya berkenaan sebelum tarikh tutup kelayakan berakhir pada 24 Jun ini.

"Kalau mengikut jumlah itu (26 atlet), ia mencapai sasaran ditetapkan. Cuma mungkin kurang dalam acara terjun apabila mereka gagal dapatkan lebih banyak atlet untuk layak, begitu juga badminton apabila disasarkan 10 (pemain lain layak), tetapi lapan yang layak," katanya ketika dihubungi.

Justeru itu, menjelang temasya bermula 26 Julai sehingga 11 Ogos depan itu, Jefri memberi peringatan kepada setiap atlet supaya menjaga diri masing-masing untuk mengelak berlaku perkara tidak diingini, sekali gus menjejaskan peluang mereka untuk beraksi di Paris 2024.

"Pada fasa terakhir ini, MSN mahu semua atlet memberi tumpuan kepada persiapan masing-masing di sesi latihan.

"Paling penting mereka perlu menjaga keselamatan dan kesihatan diri supaya tak terlepas peluang bertanding di Olimpik Paris.

"Kekal fokus kepada apa yang dilakukan dan cuba tidak begitu terpengaruh dengan apa yang berlaku di media sosial," katanya.

Pada Selasa lalu, pemain golf profesional negara, Gavin Kyle Green muncul atlet ke-21 negara beraksi di Paris 2024, sekali gus bakal membuat penampilan kali ketiga berturut-turut di temasya sukan terbesar dunia itu.

Terdahulu, 20 atlet mengesahkan penyertaan dengan penerjun negara, Bertrand Rhodict Lises muncul atlet pertama negara layak ke Paris 2024.

Lapan pemain badminton yang layak adalah beregu lelaki dan wanita iaitu Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta Pearly Tan-M Thinaah; beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei serta pemain profesional negara, Lee Zii Jia dan Goh Jin Wei.

Acara berbasikal menyaksikan penyertaan Datuk Azizulhasni Awang, Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri menerusi acara trek manakala Nur Aisyah Mohammad Zubir dalam acara lebuh raya.

Memanah pula menyaksikan penyertaan Ariana Nur Dania Mohd Zairi, Nurul Azreena Mohamad Fazil dan Syaqiera Mashayikh dalam acara recurve berpasukan manakala Ariana turut layak dalam acara recurve individu.

Selebihnya adalah atlet pelayaran, Khairulnizam Mohd Afendy bersama Nur Shazrin Mohamad Latif; badang angkat berat, Aniq Kasdan dan penembak, Johnathan Wong.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2024 @ 4:23 PM