ASHLEY berada di kedudukan ke-49 daripada 60 pemain golf wanita yang layak ke Paris 2024. FOTO ARKIB NSTP
ASHLEY berada di kedudukan ke-49 daripada 60 pemain golf wanita yang layak ke Paris 2024. FOTO ARKIB NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pemain golf wanita, Ashley Lau menjadi atlet ke-22 begara layak beraksi di temasya Olimpik Paris 2024 selepas menempatkan diri di kelompok 60 pemain terbaik dalam ranking kelayakan Olimpik.

Berdasarkan ranking terbaharu yang dikemaskini, pemain berusia 23 tahun itu akan menjadi antara 60 pemain akan bermain di Le Golf National Paris apabila berada di kedudukan ke-49 dari 60 pemain.

Ashley menjadi pemain kedua negara akan beraksi dalam acara golf selepas Gavin Kyle Green terlebih dahulu mengesahkan tempat ke temasya terbesar dunia itu.

Ashley akan tampil kali pertama di Olimpik susulan pencapaiannya di kejohanan Down Under, awal tahun ini termasuk menjuarai Terbuka Vic di Australia.

Dia membenam enam di bawah par 66 di kejohanan itu untuk mengenepikan bekas pemain nombor satu dunia, Jiyai Shin.

Terdahulu, 21 atlet negara mengesahkan penyertaan dengan penerjun, Bertrand Rhodict Lises muncul atlet pertama negara ke Paris 2024.

Lapan pemain badminton yang layak adalah beregu lelaki dan wanita iaitu Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta Pearly Tan-M Thinaah; beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei serta pemain profesional negara, Lee Zii Jia dan Goh Jin Wei.

Acara berbasikal menyaksikan penyertaan Datuk Azizulhasni Awang, Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri menerusi acara trek manakala Nur Aisyah Mohammad Zubir dalam acara lebuh raya.

Memanah pula menyaksikan penyertaan Ariana Nur Dania Mohd Zairi, Nurul Azreena Mohamad Fazil dan Syaqiera Mashayikh dalam acara recurve berpasukan manakala Ariana turut layak dalam acara recurve individu.

Selebihnya adalah atlet pelayaran, Khairulnizam Mohd Afendy bersama Nur Shazrin Mohamad Latif; badang angkat berat, Aniq Kasdan dan penembak, Johnathan Wong.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 4:04 PM