JAGUH angkat berat Aniq Kasdan antara atlet negara yang layak ke Olimpik Paris.
JAGUH angkat berat Aniq Kasdan antara atlet negara yang layak ke Olimpik Paris.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menjangkakan sekurang-kurangnya 10 lagi atlet akan berjaya melayakkan diri ke temasya Olimpik Paris Ogos ini.

Ketika ini sesi kelayakan sedang berlangsung dengan jumlah sebenar atlet akan diketahui pada penghujung Jun ini.

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria memaklumkan ketika ini seramai 18 atlet dari tujuh sukan yang mewakili 12 individu dan tiga dalam acara beregu badminton sudah mengesahkan penyertaan ke Olimpik.

Bagaimanapun Persekutuan Badminton Dunia (BWF) akan mengeluarkan senarai rasmi pemain yang layak ke Paris pada 1 Mei ini.

"MOM menjangkakan lebih ramai atlet akan layak antara yang kita jangka mampu untuk melayakkan diri adalah dalam sukan memanah individu dan berpasukan yang mana mereka akan bertanding di Antalya, Turkiye dari 18 hingga 23 Jun ini.

"Kuota yang belum digunakan untuk acara terjun juga boleh digunakan selain tiket wildcard dalam acara renang dan olahraga.

"Jadi saya menjangkakan kontinjen negara ke Olimpik Paris kali ini mungkin boleh mencapai 28 atlet," katanya.

Antara atlet yang sudah mengesahkan tempat ke Paris antaranya penerjun, Bertrand Rhodict Lises, Johnathan Wong (menembak), Ariana Nur Dania Mohd Zairi (memanah), Mohamad Aniq Kasdan (angkat berat), tiga pelumba berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dan pelumba lebuhraya wanita, Nur Aisyah Zubir selain dua pelayar negara, Nur Shazrin Latif dan Khairulnizam Afendy.

Manakala dalam acara badminton terdiri dari Lee Zii Jia (perseorangan lelaki), Goh Jin Wei (perseorangan wanita), Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki), Pearly Tan-M Thinaah (beregu wanita) dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 4:24 PM