SINNER (kanan) memeluk Alcaraz selepas perlawanan separuh akhir Terbuka Perancis yang dimenangi pemain Sepanyol itu, Sabtu lalu. FOTO AFP
SINNER (kanan) memeluk Alcaraz selepas perlawanan separuh akhir Terbuka Perancis yang dimenangi pemain Sepanyol itu, Sabtu lalu. FOTO AFP
Reuters

Paris: Jannik Sinner secara rasmi melonjak ke nombor satu ranking ATP dunia, semalam, sekali gus muncul pemain tenis Itali pertama meraih kedudukan itu.

Sinner, 22, menggantikan Novak Djokovic dari Serbia di nombor satu diikuti pemain sensasi Sepanyol, Carlos Alcaraz di tempat kedua.

Alcaraz, 21, naik satu anak tangga selepas muncul juara Terbuka Perancis, Ahad lalu, yang juga gelaran Grand Slam ketiga dalam kariernya.

Djokovic jatuh ke kedudukan ketiga selepas kecederaan lutut memaksanya menarik diri di Roland Garros sebelum perlawanan suku akhir dan seterusnya menjalani pembedahan.

Ranking menerusi komputer itu mula direkodkan pada 1973 yang berdasarkan kepada pungutan mata diraih pemain di gelanggang.

Musim ini, Sinner merekodkan 33-3 dengan tiga gelaran termasuk Terbuka Australia.

"Ia menggambarkan keputusan hebat menerusi etika kerja. Ia salah satu sasaran saya dan pasukan pada tahun ini," kata Sinner, yang memulakan tahun ini di ranking keempat dunia.

"Sasaran paling utama adalah meningkatkan diri sebagai pemain dan manusia dengan dikelilingi orang yang hebat.

"Saya fikir boleh bergembira dengan berpuas hati dengan apa yang saya dan pasukan lakukan. Kebelakangan ini, saya bermain tenis dengan baik dan sangat gembira dengan kedudukan ini."

Pemain Jerman, Alexander Zverev yang tewas di final Terbuka Perancis di tangan Alcaraz selepas pertarungan lima set kekal di tempat keempat manakala pemain Rusia, Daniil Medvedev kekal di tempat kelima.

Sinner akan beraksi di Wimbledon sebagai pemain nombor satu dunia apabila kejohanan itu bermula pada 1 Julai.

Sinner adalah pemain ke-29 menduduki ranking nombor satu dunia dengan lima lagi pemain masih aktif adalah Djokovic, Medvedev, Alcaraz, Rafael Nadal dan Andy Murray.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2024 @ 11:29 AM