SINNER menghadiahkan tualanya kepada peminat selepas menewaskan Rublev, sekali gus mara ke separuh akhir Terbuka Australia. FOTO AFP
SINNER menghadiahkan tualanya kepada peminat selepas menewaskan Rublev, sekali gus mara ke separuh akhir Terbuka Australia. FOTO AFP
Reuters

Melbourne: Pemain Itali, Jannik Sinner bakal berdepan tugas berat di separuh akhir Terbuka Australia apabila menentang Novak Djokovic, selepas dia menyingkirkan Andrey Rublev di Melbourne Park, malam tadi.

Sinner, pilihan empat kejohanan mempamerkan kesabaran dan ketahanan untuk menang 6-4, 7-6(5) dan 6-3 ke atas pemain Rusia itu, yang memiliki rekod buruk 10 kali tersingkir di 10 suku akhir Grand Slam,

Sinner yang menewaskan Djokovic dua kali pada hujung 2023, mara ke separuh akhir tanpa melepaskan sebarang set.

Sinner menerima kelebihan selepas memenangi enam mata berturut-turut dalam tie-break set kedua bagi mendapatkan momentum, seterusnya menempah tempat dalam penampilan sulungnya untuk layak ke separuh akhir Terbuka Australia.

"Sudah tentu sangat sukar untuk bermain menentangnya. Kami sudah menempuh beberapa perlawanan sangat sukar sebelum ini dan hari ini adalah permainan tiga set walaupun saya boleh kalah.

"Pada set pertama, dia mempunyai begitu banyak peluang break-point dan saya pula tidak menjangka mampu bermain dengan baik.

"Semuanya berjalan begitu pantas, ia lebih kepada reaksi dan saya cuba untuk membuatkan dia lebih banyak bergerak berbanding saya," katanya.

Mengulas perlawanan dengan Djokovic, Sinner berkata, dia gembira apabila dapat menang dua kali dan memecahkan rekod empat pertemuan antara mereka, tahun lalu.

"Saya sangat bertuah dapat berlawan dengannya lagi. Ini adalah salah satu kejohanan terbesar di dunia dan saya gembira dapat bermain dengan pemain nombor satu dunia.

"Dia menang 10 kali di sini, jadi ini akan menjadi sukar. Satu-satunya perkara saya boleh kawal adalah memberikan aksi 100 peratus dan berjuang untuk setiap bola, kemudian kita akan lihat keputusannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2024 @ 11:42 AM