DJOKOVIC tidak akan terlepas mahkota nombor satu dunia. FOTO AFP
DJOKOVIC tidak akan terlepas mahkota nombor satu dunia. FOTO AFP
Agensi

Melbourne: Novak Djokovic akan meninggalkan Terbuka Australia sebagai pemain No. 1 dunia tidak kira apa yang berlaku terhadapnya dalam baki kejohanan berkenaan.

Djokovic, Carlos Alcaraz dan Daniil Medvedev semuanya memulakan kejuaraan utama pertama musim ini dengan peluang untuk meninggalkan Melbourne sebagai pemain tangga teratas ranking dunia.

Bagaimanapun, selepas kekalahan Alcaraz kepada Alexander Zverev di suku akhir, Djokovic dijamin akan mengekalkan tempatnya di puncak.

Menurut Live Rankings ATP Pepperstone, Djokovic mempunyai 9,855 mata yang tidak dapat diatasi, meletakkannya 600 mata di hadapan Alcaraz (9,255).

Persoalannya ialah sama ada pemain Serbia itu akan menambah kelebihannya dengan memenangi gelaran Terbuka Australia ke-11 sekali gus melebarkan rekod.

Djokovic mempunyai peluang untuk melonjak ke hadapan sebanyak 1,800 mata jika dia menjulang trofi, bergantung kepada keputusan sepanjang kejohanan itu.

Jika Medvedev memperoleh mahkota utama kedua dan Djokovic tewas pada separuh akhir kepada Jannik Sinner, pemain No. 1 dunia itu akan mendahului Medvedev dengan hanya 390 mata.

Djokovic yang berusia 36 tahun kini berada di puncak bermula selepas Terbuka Amerika Syarikat tahun lalu.

Mungkin ada perubahan bagi kedudukan kedua teratas, jika bekas pemain nombor satu dunia, Medvedev memenangi gelaran, dia akan mengatasi Alcaraz untuk tempat kedua.

Sinner juga berpeluang untuk mencapai kedudukan tertinggi ketiga dunia.

Jika pemain Itali itu meraih gelaran utama pertamanya, dia akan melepasi Medvedev.

Bekas No. 2 dunia, Zverev boleh mendaki tidak lebih tinggi daripada kedudukan kelima dengan menang di Melbourne.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2024 @ 12:20 PM