Izwan Abdullah


Penampang: Wanita dikhuatiri lemas akibat dihanyutkan arus deras ketika mengharungi banjir selepas menghantar makanan kepada mangsa terperangkap banjir, dekat pekan Donggongon, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian 1.40 pagi itu, mangsa bersama suaminya dikatakan menghantar makanan kepada mangsa lain yang terperangkap akibat banjir, sebelum pulang.

Bagaimanapun, difahamkan, ketika cuba melalui kawasan banjir berhampiran Bulatan Sigah, Jalan Penampang Bypass, di sini, mangsa dikatakan dihanyutkan arus deras.

Suaminya cuba membantu dengan menarik tangan mangsa, namun arus banjir yang sangat kuat menyebabkan mangsa hanyut dan pencarian masih dijalankan oleh anggota penyelamat sehingga pagi ini.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa digerakkan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selepas menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 1.45 pagi tadi.

Sementara itu, berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, 114 mangsa daripada 42 keluarga dipindahkan akibat banjir di Dewan Pusat Kebudayaan Sabah, Penampang dan Dewan Sri Putatan, setakat 8 pagi ini.

Jumlah itu meningkat berbanding 78 mangsa pada 4 pagi tadi.

Mangsa dijangka terus bertambah berikutan masih ada mangsa dilapor terperangkap dan tidak dapat dibawa keluar malam tadi akibat arus deras, selain keadaan gelap yang menyukarkan operasi.

Difahamkan, lebih 20 kampung di sekitar daerah ini dilanda banjir, termasuk sebahagian pekan Donggongon, di sini, akibat limpahan air Sungai Moyog berikutan bacaan air yang melebihi sembilan meter, iaitu melepasi paras bahaya.

Banjir turut menjejaskan beberapa laluan utama di sekitar daerah ini dengan sekurang-kurangnya 10 lokasi termasuk di Bulatan Sigah, Jalan Penampang Bypass tidak dapat dilalui semua jenis kenderaan.

Selain banjir, beberapa kejadian tanah runtuh turut dilaporkan berlaku termasuk di laluan utama Jalan Penampang-Tambunan yang menyebabkan lalu lintas dari kedua-dua arah tidak dapat melaluinya.

Selain daerah ini, beberapa kampung di daerah Putatan, Kota Kinabalu dan Tuaran turut dilaporkan dilanda banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2024 @ 8:23 AM