SINNER bersama trofi kejuaraan Terbuka Australia. FOTO AFP
SINNER bersama trofi kejuaraan Terbuka Australia. FOTO AFP
Reuters

Melbourne: Kemenangan Jannik Sinner di Terbuka Australia, semalam hanya meningkatkan selera pemain tenis Itali itu untuk mencapai lebih banyak kejayaan Grand Slam, menurut jurulatihnya Darren Cahill.

Pemain nombor empat dunia itu bangkit selepas ketinggalan dua set di Rod Laver Arena untuk mengejutkan juara Terbuka AS 2021, Daniil Medvedev 3-6, 3-6, 6-4, 6-4, 6-3 sekali gus meraih kejuaraan pertamanya.

"Kami percaya pada Jannik dan akan sentiasa mempercayainya. Dia seorang anak muda yang istimewa, bahkan cara dia memukul bola juga kedengaran istimewa.

"Dia menerima segala tunjuk ajar dan mencuba perkara baru di gelanggang dan sentias mahu menjadi lebih baik. Saya yakin selepas ini dia masih tidak akan puas dengan pencapaian itu. Sebaliknya, dia akan terus meningkatkan prestasinya menjadi lebih baik," kata Cahill.

Sinner, 22 dan Carlos Alcaraz, 20, menerajui generasi bakat bakat baru yang berusaha menamatkan cengkaman Novak Djokovic di Grand Slam.

Alcaraz juga sudah memiliki dua gelaran utama dan Cahill berkata Sinner sedang mengejar pemain Sepanyol itu.

"Kami bersyukur Carlos membuka jalan bagi ramai pemain muda. Menjadi satu kegembiraan untuk menyaksikannya bermain di gelanggang.

"Kami berhasrat untuk menjadi sebaik dia dan berharap suatu hari nanti dapat menjadi lebih baik daripadanya. Namun pada masa ini kami mengejar Carlos dan kami akan terus melakukannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2024 @ 11:27 AM