Tian Soon (kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar Regency, Serena Wong menunjukkan catatan Malaysian Book of Records  saringan Kempen Diabetes terbesar di Mid Valley Southkey, Johor Bahru. FOTO OMAR AHMAD
Tian Soon (kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar Regency, Serena Wong menunjukkan catatan Malaysian Book of Records saringan Kempen Diabetes terbesar di Mid Valley Southkey, Johor Bahru. FOTO OMAR AHMAD
Omar Ahmad


Johor Bahru: Kerja-kerja pembersihan tumpahan minyak di sepanjang persisir Sungai Rengit hingga Teluk Ramunia, Pengerang, dekat Kota Tinggi, siap 100 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, bagaimanapun pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan melakukan pemantauan terhadap proses pembersihan berkenaan terutama di kawasan bakau dan permukaan berbatu.

"Kerja-kerja pembersihan di kawasan terjejas sehingga kini sudah berjaya mengumpulkan 43 tan sisa berminyak, yang membabitkan dua fasa.

"Pencemaran terbaharu kesan tumpahan minyak dari perairan Singapura itu kini dikesan di Pulau Che Kamat dan Sungai Rengit.

"Bagaimanapun, kerja-kerja pembersihan akan dilakukan dalam masa terdekat," katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan majlis penutupan Kempen Saringan Diabetes di Recency Specialist Hospital, Southkey di sini, semalam.

Dalam perkembangan sama, Tian Soon memaklumkan kerajaan negeri tidak bercadang untuk menyaman syarikat kapal dari Belanda yang melanggar kapal tangki minyak milik Singapura di Terminal Pasir Panjang, Singapura, pada 14 Jun lalu hingga menyebabkan pencemaran di kawasan perairan sempadan Malaysia-Singapura.

Katanya, ini kerana syarikat terbabit akan membayar jumlah kerugian kepada semua nelayan yang terjejas dengan pencemaran tersebut termasuk kos kerja-kerja pembersihan.

"Ketika ini, jabatan perikanan sedang melakukan siasatan bilangan nelayan yang terkesan dan layak mendapat pampasan termasuk jumlah kerugian dialami. Jumlahnya sedang dibincangkan.

"Kita tidak akan mengikut langkah kerajaan Singapura yang bercadang menyaman pihak terbabit kerana kawasan perairan kita yang terjejas tidak teruk seperti di Singapura. Lagipun syarikat itu menerusi pihak insurans mereka sedia bayar pampasan dan menanggung semua kos kerja-kerja pembersihan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2024 @ 9:10 AM