MEDVEDEV (kanan) bersalaman dengan Sinner selepas memenangi Terbuka Miami. FOTO USA TODAY Sports
MEDVEDEV (kanan) bersalaman dengan Sinner selepas memenangi Terbuka Miami. FOTO USA TODAY Sports
AFP

Miami Gardens: Bintang Rusia, Daniil Medvedev merangkul kejuaraan ATP keempatnya tahun ini selepas melakar kemenangan ke atas Jannik Sinner dari Itali pada perlawanan akhir Terbuka Miami, awal pagi tadi.

Sinner mengecewakan pemain nombor satu dunia dan juara bertahan, Carlos Alcaraz pada aksi separuh akhir tetapi pemain berusia 21 tahun itu bergelut ketika menentang pilihan keempat, Medvedev, yang menang 7-5, 6-3.

Kemenangan itu adalah gelaran ATP ke-19 Medvedev dan kelimanya dalam acara Masters 1000 sekali gus mengesahkan penguasaannya di gelanggang keras pada 2023.

Sinner, yang turut tewas di final Miami dua tahun dan masih belum mampu melakar kemenangan ke atas Medvedev berkata, dia tidak berada pada tahap terbaik.

"Saya bangun pagi dengan tidak berada pada tahap terbaik saya. Malangnya hari ini saya tidak dapat bermain dengan baik.

"Dengan cuaca yang agak panas dan perlu banyak berlari, ia menambahkan kesukaran saya. Pada setengah jam pertama permainan, kami beraksi di bawah terik matahari," kata Sinner.

Medvedev, yang sudah memenangi tiga kejuaraan dalam tempoh tiga minggu di Rotterdam, Doha dan Dubai sebelum tewas kepada Alcaraz dalam perlawanan akhir Indian Wells, bermula dengan keyakinan tinggi.

"Saya sangat gembira. Hari ini adalah perlawanan yang sukar. Ia mungkin hari paling panas dan paling lembap pada siang hari.

"Situasi seperti ini tidak mudah. Saya tidak tahu sama ada Jannik mengalami kecederaan ringan atau kekejangan. Saya juga bergelut tetapi cuba untuk tidak menunjukkannya," kata Medvedev.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 April 2023 @ 10:42 AM