DE la Fuente gembira dengan prestasi anak buahnya. FOTO Reuters
DE la Fuente gembira dengan prestasi anak buahnya. FOTO Reuters
AFP

Cologne: Jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente berkata pasukannya mungkin menewaskan Georgia 9-1 ketika mereka mara ke suku akhir Euro 2024 untuk menentang tuan rumah Jerman.

La Roja ketinggalan menerusi jaringan sendiri Robin Le Normand tetapi bangkit dengan kuat untuk meraih kemenangan 4-1 di Cologne dan mencipta beberapa peluang terbaik menentang pasukan yang melakarkan kejutan di kejohanan itu.

Rodri, Fabian Ruiz, Nico Williams dan Dani Olmo menjaringkan gol untuk Sepanyol, manakala pemain sayap berusia 16 tahun, Lamine Yamal terlepas dua peluang terbuka yang boleh menyaksikan dia dinobatkan sebagai penjaring termuda Euro.

"Kami sangat gembira kerana kami tahu apa diperlukan untuk berada di sini, itu ditunjukkan oleh apa yang dilalui oleh pasukan lain," kata De la Fuente kepada televisyen Sepanyol.

"(Keputusan) mengelirukan kerana mungkin 8-1 atau 9-1. Kami terpaksa menderita, serangan balas adalah senjata mereka.

"Mereka tidak berjaya melakukan percubaan tepat ke sasaran dan kami menyempurnakan peluang, jadi kami sangat gembira.

"Mula-mula kami perlu pulih dan kemudian kami perlu menjadi diri sendiri, untuk terus menikmati bola sepak... dan menentang Jerman kami perlu memberikan yang terbaik, ia tidak boleh dilakukan dengan cara lain," tambah jurulatih itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2024 @ 8:54 AM