Chad Le Clos. FOTO REUTERS
Chad Le Clos. FOTO REUTERS
Reuters

Cape Town: Atlet Olimpik paling berjaya dari Afrika Selatan, Chad le Clos berharap dapat mengukuhkan penguasaannya di kolam renang selepas terpilih untuk beraksi di Sukan Olimpik Paris.

Perenang berusia 32 tahun itu yang beraksi dalam acara kuak kupu-kupu, akan cuba menambah koleksi empat pingat yang dimenanginya di Olimpik pada penampilan keempat di temasya sukan terbesar dunia itu.

Dia menamatkan saingan di tempat kelima dalam saingan 100 meter kuak kupu-kupu di Kejuaraan Dunia di Doha pada Februari lalu.

Ketika era kegemilangannya, Le Clos berjaya meraih pingat emas 200m kuak kupu-kupu menewaskan Michael Phelps ketika Olimpik London 2012.

Le Clos yakin dia mampu menjadi pesaing utama di Paris meskipun sudah sampai ke penghujung karier.

"Saya akan cuba membuat kejutan," katanya di Doha pada Februari lalu.

Le Clos pasti akan menjadi tumpuan di Paris tetapi rakan sepasukannya, Tatjana Smith mungkin perenang terbaik negara itu yang berpeluang memenangi pingat.

Tatjana mengecewakan perenang Amerika Syarikat, Lilly King untuk meraih pingat emas 200m kuak dada di Sukan Olimpik Tokyo.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2024 @ 11:02 AM