Rio de Janeiro: Joseph Schooling (gambar kanan) sedang membuat karangan untuk kerja sekolahnya apabila Michael Phelps hadir di kelab renang di Singapura menjelang Olimpik 2008 Beijing.

Ketika kanak-kanak lain berlari ke arah Phelps untuk bergambar, Schooling bagaikan terpaku. Dia tidak percaya idola renang itu berada di depan matanya. Tapi, dia yang berusia 13 tahun ketika itu berjaya mengumpul semangat untuk turut bergambar dengan Phelps.

“Saya tidak boleh tersenyum,” kata Schooling. “Saya hanya sekadar membuka mulut.”

Gambar perjumpaan itu kemudian tersebar dalam sosial media malam Jumaat selepas Schooling mengecewakan Phelps dalam acara 100-meter kuak kupu-kupu untuk menghadiahkan emas Olimpik pertama buat Singapura dengan perenang Amerika Syarikat itu tewas dalam perlumbaan individu terakhir kerjayanya.

Phelps menamatkan saingan di tempat kedua terikat dengan pencabar ketatnya Chad le Clos dari Afrika Selatan dan Lazslo Cseh (Hungary).

“Semua ini berlaku kerana Michael,” kata Schooling. “Dia punca saya mahu menjadi perenang yang lebih baik.”

Schooling mungkin kurang dikenali bagi kebanyakan orang, tetapi dalam lingkaran renang, dia mempunyai pencapaian membanggakan.

Dia menang gangsa 100m kuak kupu-kupu di Kejohanan Dunia di Russia tahun lalu selain memenangi pingat Sukan Asia, Komanwel dan SEA.

Schooling, 21, berenang untuk Universiti Texas dan mengungguli 100 dan 200m kuak kupu-kupu di kejohanan NCAA tahun ini selain membantu Longhorns memenangi semua tiga acara berganti-ganti.

Dia mempunyai maskot sekolah dan perkataan ‘Come and take it’ ditatoo di belikat bahu kiri.

Schooling menang emas dengan rekod Olimpik 50.39 saat dengan meninggalkan Phelps, Le Clos dan Cseh. Jarak kemenangan 0.75s itu yang terbesar sejak perenang Amerika Syarikat Mark Spitz menang emas pada 1972 Munich dan catatan itu lebih pantas daripada masa kemenangan Phelps di London empat tahun lalu.

Susulan memenangi emas pertama Olimpik negaranya itu, Schooling menerima bonus S$1 juta (RM2.98 juta). Bagaimanapun, dia akan memberi balik S$200,000 (RM600,000) kepada Persatuan Sukan Kebangsaan untuk latihan dan pembangunan masa depan. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2016 @ 11:26 AM