PERENANG Afrika Selatan, Tatjana Schoenmaker menang pingat emas dan mencipta rekod baharu dunia acara 200m kuak dada wanita di Tokyo 2020, hari ini. FOTO EPA
PERENANG Afrika Selatan, Tatjana Schoenmaker menang pingat emas dan mencipta rekod baharu dunia acara 200m kuak dada wanita di Tokyo 2020, hari ini. FOTO EPA
AFP

Tokyo: Perenang Afrika Selatan, Tatjana Schoenmaker berkata, dia masih tidak percaya dapat memecahkan rekod dunia acara 200 meter (m) kuak dada wanita untuk menang pingat emas di Olimpik Tokyo 2020, hari ini.

Tatjana mencatatkan masa 2 minit 18.95 saat untuk mengatasi rekod 2:19.11s dicipta perenang Denmark, Rikke Moller Pedersen pada 2013.

Ia menjadikan Tatjana sebagai perenang wanita pertama Afrika Selatan menang pingat emas renang Sukan Olimpik sejak 1996, selepas Penny Heyns memenangi acara 100m dan 200m kuak dada wanita.

Tatjana kelihatan tidak percaya ketika melihat ke papan keputusan sebelum menangis ketika dia dipeluk pesaingnya di Pusat Akuatik Tokyo.

"Ia masih seperti khayalan," katanya. "Saya fikir emosi ketika di dalam kolam renang membuktikan saya memang terkejut."

Ini adalah penampilan pertama Tatjana di Sukan Olimpik selepas tercicir di peringkat kelayakan di Rio 2016.

Perenang berusia 24 tahun itu menang pingat perak dalam acara 100m dan hampir memecahkan rekod dunia ketika saringan.

Ini adalah rekod dunia ketika dicipta di kolam renang di Tokyo dan yang pertama bagi kategori individu selepas pasukan wanita Australia mencipta rekod baharu 4x100m berganti-ganti dan pasukan wanita China melakukannya dalam acara 4x200m berganti-ganti.

"Saya membayangkan hanya mampu layak ke final dan itu yang saya perkatakan sebaik layak ke Tokyo 2020," kata Tatjana.

"Saya terlepas aksi di Rio 2016 hanya kerana sesaat ketika pemilihan dan ia memang mengecewakan. Ia bukan saat gembira, tetapi setiap perkara berlaku kerana ada sebab dan sejujurnya, saya tidak bersedia ketika itu.

"Bermula daripada kegagalan itu, saya kembali belajar mencintai sukan ini dan meletakkan sasaran pada 2020."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Julai 2021 @ 6:48 PM