PERENANG AS, Caeleb Dressel memecahkan rekod dunia milik sendiri ketika menang pingat emas acara 100m kuak kupu-kupu lelaki di Tokyo 2020, hari ini. FOTO AFP
PERENANG AS, Caeleb Dressel memecahkan rekod dunia milik sendiri ketika menang pingat emas acara 100m kuak kupu-kupu lelaki di Tokyo 2020, hari ini. FOTO AFP
AFP

Tokyo: Perenang ternama Amerika Syarikat (AS), Caeleb Dressel mengakui dia 'terluka' ketika memecahkan rekod dunia milik sendiri untuk memenangi pingat emas acara 100 meter (m) kuak kupu-kupu lelaki, hari ini, yang juga pingat emas ketiganya di Tokyo 2020.

Juara dunia dua kali itu mencatatkan 49.45 saat untuk mengatasi catatan 49.50s yang dilakukannya di Kejuaraan Dunia 2019.

Penerang Hungary yang juga juara 200m kuak kupu-kupu, Kristof Milak di tempat kedua dengan catatan 49.68s – iaitu lelaki keempat yang pernah mencatat masa di bawah 50s - manakala Noe Ponti dari Switzerland di tempat ketiga dengan 50.74s.

"Ia adalah perlumbaan yang menyeronokkan dan menceriakan sukan ini," kata Dressel.

"Ia dilaksanakan dengan baik, tubuh saya tidak berada pada tahap terbaik, saya merasakan semalam lebih baik.

"Memang keadaan tidak baik, tetapi akhirnya keputusan bagus," katanya.

"Saya tahu perancangan perlumbaan dan terus berpegang kepadanya untuk melaksanakan tugas hari ini. Persaingan sengit dan dua masa terpantas dalam sejarah.

"Anda jarang mendapat peluang untuk menjadi sebahagian daripada sesuatu yang istimewa seperti ini. Acara ini menjadi semakin pantas, saya sedar keadaan itu dan seronok apabila memecahkan rekod dunia untuk menang."

Dressel mencatatkan masa ketiga terpantas sepanjang zaman ketika saringan dan tiada perenang masih aktif menghampiri catatan rekod dunianya sebelum final.

Ia adalah rekod dunia keempat di kolam renang di Tokyo 2020 sebelum rekod kelima dicatatkan pasukan Britain dalam 4x100m rampaian berganti-ganti campuran.

Catatan Dressel itu yang kedua dilakukan perenang individu selepas perenang Afrika Selatan, Tatjana Schoenmaker memecahkan rekod dunia 200m kuak lentang wanita, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Julai 2021 @ 8:38 PM