MILAK meraikan kejayaannya memecah rekod dunia 200m kuak kupu-kupu milik Phelps, semalam. — FOTO AFP
MILAK meraikan kejayaannya memecah rekod dunia 200m kuak kupu-kupu milik Phelps, semalam. — FOTO AFP
AFP

SENSASI renang Hungary, Kristof Milak menyatakan dia terharu ketika memecahkan rekod dunia milik wiranya Michael Phelps bagi acara 200 meter kuak kupu-kupu dan berazam untuk tampil lebih mantap pada Sukan Olimpik Tokyo tahun depan.

Selepas asyik menghampiri rekod 10 tahun perenang Amerika Syarikat itu sepanjang musim, perenang berusia 19 tahun itu mengalahkan juara bertahan Chad le Clos untuk muncul lelaki pertama berenang di bawah satu minit 51 saat dalam acara kegemaran Phelps.

Catatan mengagumkan Milak 1:50.73s memecahkan rekod Phelps pada kejohanan dunia 2009 hampir 0.8 saat dan tiga saat lebih pantas daripada pemenang pingat perak Daiya Seto dari Jepun dengan Le Clos meraih gangsa.

“Apabila saya pusing ke belakang dan melihat catatan itu, semua debaran dan tekanan hilang sama sekali,” kata perenang berwajah kebudak-budakan itu. “Semua kegembiraan hadir ketika itu.”

MILAK (tengah) bersama Seto (kiri) dan Le Clos pada majlis penyampaian pingat di Gwangju, Korea Selatan. — FOTO EPA
MILAK (tengah) bersama Seto (kiri) dan Le Clos pada majlis penyampaian pingat di Gwangju, Korea Selatan. — FOTO EPA

Milak mempamerkan potensinya apabila memenangi acara 200m kuak kupu-kupu pada kejohanan Eropah tahun lalu, namun kepantasan menakjubkannya bagi 50m terakhir pada kejohanan dunia di Gwangju mengejutkan pencabarnya.

Milak mengingatkan wartawan dia masih di sekolah rendah apabila Phelps mencatat rekod dunia di Rome.

“Saya berusia sembilan tahun,” katanya. “Ketika itu saya tidak langsung mengikuti perkembangan sukan renang.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Julai 2019 @ 1:18 PM