TSG menarik minat pelumba pelbagai negara.
TSG menarik minat pelumba pelbagai negara.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Agak mengejutkan, tapi itu yang berlaku apabila lebih 60 pelumba seluruh dunia menghantar permohonan untuk menyarung jersi Terengganu Cycling Team (TSG) sejak musim lalu.

Perkara itu didedahkan Ketua Pegawai Operasi TSG, Nasiruddin Wan Idrus yang memaklumkan majoriti permohonan itu hadir daripada pelumba luar negara selain pelumba tempatan.

Jelasnya, lebih mengejutkan ada juga pelumba yang pernah beraksi dalam kejohanan bertaraf dunia turut menghantar permohonan untuk menyertai pasukan berpangkalan di Terengganu itu.

Bagaimanapun jelasnya, daripada keseluruhan permohonan itu, pihak pengurusan hanya menyenaraikan 16 pelumba termasuk pelumba tempatan sebagaimana kuota yang ditetapkan.

"Bermula April tahun lalu sehingga sekarang, setiap bulan kita menerima permohonan dan mesej daripada pelumba untuk menyarung jersi TSG, setakat ini lebih 60 pelumba yang mencuba nasib.

"Ada dari Rusia, Oman, Belanda dan beberapa lagi negara selain pelumba tempatan hantar permohonan untuk menyertai pasukan TSG yang ditubuhkan sejak 13 tahun lalu itu, kita ucapkan terima kasih," katanya ketika ditemui di pejabat TSG semalam.

Ketika ditanya apa faktornya, beliau menjelaskan mungkin reputasi pasukan selain kejayaan di pentas Asia, benua dan dunia menyebabkan ramai pelumba yang menaruh harapan yang tinggi untuk beraksi bersama TSG.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2024 @ 4:04 PM