PASUKAN baharu TSG yang diperkenalkan kelmarin. FOTO TERENGGANU CYCLING TEAM
PASUKAN baharu TSG yang diperkenalkan kelmarin. FOTO TERENGGANU CYCLING TEAM
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Enam pelumba menjadi taruhan gergasi sukan berbasikal negara, Terengganu Cycling Team (TSG) dalam mengharungi cabaran pada Jelajah Sharjah di Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang bakal membuka tirainya bermula Jumaat ini.

Ketua Pegawai Operasi TSG, Nasiruddin Wan Idrus berkata, kejohanan bertaraf 2.2 selama enam hari itu adalah perlumbaan sulung pada tahun ini dalam misi untuk mengekalkan kejuaraan Jelajah Asia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Jelasnya, daripada enam pelumba itu, tiga daripadanya adalah pelumba import manakala selebihnya adalah pelumba tempatan termasuk ahli keluarga baharu, Nur Aiman Rosli.

"Pada perlumbaan ini, kita mempertaruhkan tiga pelumba import yang juga pakar pendakian iaitu Metkel Eyob (Eritrea), Anatolli Budiak (Ukraine) dan 'all rounder', Jesse Ewart dari Ireland.

"Manakala tiga pelumba tempatan termasuk pelumba berpengalaman, Mohd Harrif Saleh, pakar pendakian, Kee Zhe Yie dan pelumba Nur Aiman yang bakal membuat penampilan pertama dengan TSG.

"Daripada enam pelumba itu kita menyasarkan sekurang-kurangnya dua podium pada edisi sulung itu, jika dapat lebih ianya bonus buat pasukan dalam misi untuk mengekalkan kejuaraan Jelajah Asia selain pasukan benua terbaik dunia dan memperbaiki kedudukan di ranking dunia," katanya.

Mengulas lanjut, Nasiruddin berkata, TSG perlu mengumpul seberapa banyak mata agar sasaran yang ditetapkan pada musim baharu ini tercapai lebih-lebih lagi dengan kemasukan tiga muka baharu termasuk dua tenaga import.

"Kita perlu bermula dengan pencapaian terbaik pada musim ini, jadi pelumba perlu berusaha lebih gigih untuk mencapai sasaran yang ditetapkan itu sekali gus memperbaiki kejayaan pada musim lalu," katanya.

Pada musim lalu dalam Jelajah Sharjah itu, TSG merangkul lima kejuaraan termasuk juara keseluruhan King of Mountain (KOM) menerusi pelumba kelahiran Indonesia, Aiman Cahyadi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2024 @ 7:15 PM