PELUMBA TSG harap raih jersi kuning dan pecut di Tour of Thailand (TOT) 2018. - Foto TSG
PELUMBA TSG harap raih jersi kuning dan pecut di Tour of Thailand (TOT) 2018. - Foto TSG
Azlan Muhammad Zain


TERENGGANU Cycling Team (TSG) semakin bernafsu mencipta kejayaan selepas melakar sejarah meraih jersi kuning atau juara individu keseluruhan pada saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) baru-baru ini.

   

Menurut kapten TSG, Mohd Zamri Salleh, selain kemenangan kategori peringkat, mereka meletakkan harapan untuk meraih jersi kuning dan pecut di Tour of Thailand (TOT) 2018 yang bermula hari ini.

   

"Kejayaan di LTdL 2018 memberikan motivasi dan semangat kepada kami untuk meneruskan kalendar perlumbaan Jelajah Asia. Sekali lagi harapan disandarkan kepada rakan sepasukan, Artem Overchkin dari Russia memburu jersi kuning buat kali kedua bersama TSG.

   

"Saya yang menggantikan Mohd Harrif Salleh pada saat akhir, mahu memburu jersi pecut (hijau) pada perlumbaan berstatus 2.1 ini," katanya.

   

Zamri membuktikan kemampuannya pada peringkat pertama hari ini dari Pattaya ke Chanthaburi sejauh 207.1 kilometer apabila menduduki tempat kedua dengan perlumbaan dimenangi Raymond Kreder dari Team UKYO dengan masa empat jam 19 minit 08 saat.

   

Pelumba tuan rumah, Thanawut Sanikwathi yang meraih emas acara lepas beramai-ramai Sukan SEA 2017, menduduki tempat ketiga.

   

Kejayaan berada pada kedudukan kedua turut menobatkan Zamri sebagai pelumba terbaik ASEAN untuk menyarung jersi ungu.

   

Saingan TOT 2018 mempertandingkan enam peringkat dengan saingan membabitkan 20 pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 April 2018 @ 8:26 PM