SAINBAYAR taruhan Terengganu Polygon Cycling Team (TSG). FOTO Fathil Asri
SAINBAYAR taruhan Terengganu Polygon Cycling Team (TSG). FOTO Fathil Asri
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Walaupun saingan untuk merebut jersi kuning (juara keseluruhan) Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 terarah kepada Ivan Ramiro Sosa dari Movistar dan pelumba EF Education-EasyPost, Hugh Carthy namun Jambaljamts Sainbayar masih belum mengangkat 'bendera putih'.

Pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) itu yang sekarang ini menduduki tangga ke-10 keseluruhan dan menjadi pelumba ke-11 tiba di puncak Genting Highlands semalam ketinggalan dua minit 39 saat di belakang Sosa (kedudukan keseluruhan).

Dia yang juga keseluruhan Tour of Thailand 2021 meletakkan peringkat ketujuh sebagai peluang terakhirnya untuk melakukan sesuatu buat dirinya dan juga pasukan TSG.

"Saya rasa masih lagi boleh memberi tentangan untuk merebut jersi kuning dengan berhadapan beberapa pelumba di atas saya (kedudukan keseluruhan)," kata pelumba kelahiran Mongolia itu.

Bagi Sainbayar sendiri dia tidak merasakan kedudukannya dengan pelumba dengan sembilan lagi pelumba di atasnya agak terlalu jauh termasuk Sosa.

"Ia tidak terlalu jauh masih boleh untuk terus bersaing dengan mereka sekali lagi terutama di peringkat ketujuh nanti," kata pelumba berusia 26 tahun itu.

itanya mengenai pengalamannya mendaki puncak Genting Highlands semalam, naib juara Tour of Sakarya 2022 itu berkata, pasukannya berjaya memberi bantuan sebaiknya untuk membantunya bersaing dengan pakar pendakian dunia lain.

"Ini kali pertama saya melalui 'Queen Stage' bersama TSG, pasukan kami membentuk kerjasama yang baik terutama dalam membantu saya untuk berada bersama kumpulan pertama.

"Ketika berbaki empat kilometer lagi menuju ke garisan penamat saya berjaya menyertai kumpulan pertama itu dan menamatkan perlumbaan di tempat ke-11. Setidak-tidaknya kami masih berada dalam kelompok untuk bersaing merebut juara keseluruhan.

"Harap peringkat ketujuh kami boleh mempamerkan aksi terbaik dan membantu saya untuk mendapatkan jersi kuning atau melalukan sesuatu buat pasukan," katanya.

Peringkat ketujuh akan berlangsung Isnin depan dari Kuah menuju ke Gunung Raya, Langkawi dengan menawarkan pendakian berstatus CAT 1.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Oktober 2022 @ 4:36 PM