AIMAN (kiri) dan Ewart gembira dapat bersama TSG. FOTO Ghazali Kori
AIMAN (kiri) dan Ewart gembira dapat bersama TSG. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Impian menjadi kenyataan. Itulah gambaran paling sesuai buat pelumba import baharu pasukan berbasikal Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Aiman Cahyadi yang bakal membuat penampilan pertama bersama skuad itu musim ini.

Hal ini berikutan hasrat pelumba kelahiran Indonesia itu bergandingan dengan pelumba sensasi kebangsaan, Mohd Harrif Saleh menjadi kenyataan selepas sah berada dalam keluarga baharu juara Jelajah Asia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) itu bagi saingan 2023.

Pakar pendakian itu juga akui begitu teruja kerana terpilih mewakili pasukan ketiga terbaik benua dunia UCI daripada 178 pasukan yang beraksi musim lalu.

"Saya sudah lama mengenali Harrif dan juga abangnya, Mohd Zamri, saya juga biasa melihat pelumba ini beraksi, mereka ini bukan sahaja popular di Malaysia, malah juga di Indonesia berikutan beberapa kejayaan yang sudah diraih.

"Jadi saya juga mempunyai impian untuk beraksi bersama Harrif, ianya sudah lama, kini Allhamdulillah hasrat saya menjadi kenyataan selepas terpilih menyarung jersi pasukan TSG.

"Sekarang satu pasukan, ini peluang terbaik buat saya untuk 'berguru' dengan Harrif selain bakal menambah lagi pengalaman saya dalam arena berbasikal ini," kata Aiman yang memasuki usia 30 tahun musim ini.

Ketika ditanya mengenai sasarannya musim ini, Aiman yang bergelar juara kebangsaan Indonesia 2022 tekad untuk meraih seberapa banyak podium buat pasukannya walaupun sedar ianya bukan tugas mudah.

"Ini peluang terbaik saya membuktikan kemampuan untuk meraih podium selain sasaran menambah mata buat pasukan yang menyasarkan pasukan benua nombor satu dunia bagi musim ini," katanya ketika ditemui.

Sementara itu pakar pendakian dari Australia, Jesse Ewart yang juga pelumba baharu TSG akui teruja selepas terpilih menyarung jersi pasukan yang berpangkalan di Terengganu itu.

"Saya gembira di sini (Terengganu), tahun lalu saya sasarkan menaiki podium dan ianya berjaya selepas menduduki tempat ketiga keseluruhan Tour du Rwanda.

"Jadi pada tahun ini matlamat yang sama, saya ingin mencipta karier lebih baik di Malaysia dengan kejayaan demi kejayaan lebih-lebih lagi pasukan TSG ini sudah lama ditubuhkan di Malaysia dan pengurusannya sangat bagus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2023 @ 7:00 PM