AMARJIT berkata berdasarkan aspirasi Azizulhasni sendiri, PKBM mensasarkan satu emas dalam sukan basikal trek di Sukan Olimpik Paris. FOTO FERZALFIE FAUZI
AMARJIT berkata berdasarkan aspirasi Azizulhasni sendiri, PKBM mensasarkan satu emas dalam sukan basikal trek di Sukan Olimpik Paris. FOTO FERZALFIE FAUZI
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) senada dengan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang untuk mendapatkan emas di Sukan Olimpik Paris 2024 yang akan bermula Julai ini.

Timbalan Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill berkata, disebabkan keyakinan Azizulhasni begitu tinggi, pihaknya yakin untuk mensasarkan satu pingat iaitu kilauan emas di temasya terbesar dunia itu nanti.

"Saya rasa kita semua tahu aspirasi Azizulhasni untuk Sukan Olimpik Paris. Baru-baru ini, beliau mengatakan bahawa semua orang tahu apa yang beliau mahukan di Paris nanti. Beliau sudah memenangi gangsa di Rio, kemudian perak di Tokyo. Jadi satu-satunya yang belum diraih adalah emas.

"Saya sudah berbincang dengan jurulatih, John Beasley dan berdasarkan aspirasi Azizulhasni sendiri, PKBM mensasarkan satu emas dalam sukan basikal trek di Sukan Olimpik Paris," katanya.

Selain itu, Amarjit melihat sasaran itu tidak mustahil dek kerana The Pocket Rocketman ketika ini berada di prestasi terbaik untuk memenangi emas pertama buat Malaysia di Olimpik nanti.

Untuk rekod, pelumba kelahiran Terengganu sebelum ini pernah memenangi pingat memenangi gangsa di Rio 2016 dan perak di Tokyo 2020.

Di Olimpik Paris nanti, Azizulhasni tidak berseorangan apabila bakal ditemani rakan sepasukan iaitu Muhammad Shah Firdaus dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri yang sama turut layak ke temasya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2024 @ 7:19 PM