AZIZULHASNI bakal membuat penampilan kelima di temasya Olimpik di Paris 2024. FOTO FB AZIZULHASNI AWANG
AZIZULHASNI bakal membuat penampilan kelima di temasya Olimpik di Paris 2024. FOTO FB AZIZULHASNI AWANG
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pelumba berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi atlet lelaki pertama negara beraksi di lima temasya Olimpik selepas secara rasminya mengesahkan tempat ke temasya Paris 2024.

Menjadi sandaran utama kontinjen negara dalam merealisasikan pingat emas pertama di temasya terbesar dunia itu, Azizulhasni meletakkan tanda aras yang tinggi untuk dijejaki pelumba negara lain khasnya dalam sukan berbasikal.

Pencapaian Azizulhasni yang mesra disapa Jijoe tampil lima kali di Olimpik menyamai pencapaian bekas penerjun wanita negara, Leong Mun Yee yang turut membuat lima penampilan.

Azizulhasni yang diberi julukan The Pocket Rocketman berkata, sukan lumba basikal antara sukan yang proses kelayakannya sukar dan rumit.

"Kelayakan kali kelima ini adalah satu sejarah besar buat legasi saya kerana saya adalah atlet lelaki Malaysia pertama meraih pencapaian berkenaan.

"Setiap kitaran Sukan Olimpik itu mengambil masa selama empat tahun. Bermaksud, pembabitan saya di temasya Sukan Olimpik ini sahaja sudah menelan tempoh 20 tahun.

"Penampilan di temasya kali ini amat menarik kerana saya sudah mencecah usia 36 tahun. Usia di mana rata-rata dari kita percaya ia sudah lewat dan prestasi seseorang atlet itu mulai merudum.

"Apa yang saya tonjolkan kepada mereka yang celik di sini adalah ia bukan sesuatu yang mustahil untuk kita," katanya.

Azizulhasni membuat penampilan pertama di temasya Olimpik Beijing pada 2008 dan ketika itu beraksi dalam acara keirin, pecut individu dan pecut berpasukan.

Dia kemudiannya menjadi tunjang skuad berbasikal negara di London 2012.

Pada penampilan ketiganya di Rio de Janeiro 2016, Azizulhasni melakar sejarah dalam sukan berbasikal apabila meraih pingat pertama selepas menghadiahkan gangsa dalam acara keirin.

Pada penampilan keempatnya di Tokyo 2020, Azizulhasni sekali lagi melakar gemilang apabila menyumbangkan perak dalam acara keirin.

"Dari penampilan pertama saya di Beijing 2008 lagi, objektif saya adalah tertumpu jauh lebih daripada itu. Ia tidak pernah luntur dan saya sentiasa bekerja keras demi merealisasikan untuk negara tercinta.

"Kini, kita berada di fasa terakhir dan saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar dapat memberikan sepenuh sokongan dan mendoakan kejayaan saya serta rakan atlet lain yang akan berjuang di Sukan Olimpik Paris 2024 nanti," katanya.

Terdahulu, Pemangku Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill mengesahkan Azizulhasni bersama dua lagi pelumba berbasikal trek, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri secara rasmi layak ke Paris 2024 selepas pemberitahuan rasmi daripada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), awal pagi tadi.

Ketiga-tiga pelumba itu layak untuk beraksi dalam acara keirin dan pecut individu di Paris 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2024 @ 5:23 PM