NAIM yakin dengan kemampuan Azizulhasni. FOTO Ihsan OCBC
NAIM yakin dengan kemampuan Azizulhasni. FOTO Ihsan OCBC
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, dijangka mampu untuk menamatkan kemarau pingat emas Malaysia di temasya Sukan Olimpik meskipun umurnya sudah berusia.

Keyakinan itu disuarakan bekas Timbalan Presiden Persekutuan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Naim Mohamad memandangkan sebelum ini legenda basikal trek Chris Hoy dari Great Britain pernah meraih emas di temasya Olimpik London 2012 ketika berusia 36 tahun.

Malah katanya dengan prestasi pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 2020 ketika ini, beliau mempunyai harapan yang tinggi untuk melihat pelumba itu melakar sejarah baru dalam lembaran Sukan Malaysia ketika beraksi di Olimlik Paris 2024 nanti.

"Saya mempunyai harapan tinggi agar Azizul mencatat sejarah dan memenangi pingat emas di acara berbasikal trek keirin di olimpik sebelum dia bersara.

"Selepas menjalani pembedahan dengan jayanya dan sekarang ini beliau sudah bergiat dengan cergas, saya yakin dan percaya insya Allah pingat emas pertama di olimpik

"Kalau tengok Chris Hoy menang beberapa pingat emas termasuk di peringkat olimpik walaupun dalam peringkat umur dalam 36 tahun, jadi tak mustahil.

"Dengan kegigihan dan disiplin dimilikinya, kita bersyukur dan berbangga kerana kita mempunyai bakat dan seorang atlet yang ada semangat untuk menang. Kita doa kepada Allah SWT untuk memudahkannya," katanya pada pengumuman pelan laluan acara kayuhan berbasikal OCBC Kuala Lumpur 2023 di sini hari ini.

Sebelum ini, Azizulhasni mencipta sensasi apabila memenangi pingat perak acara keirin pada Kejohanan Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Jakarta, Indonesia minggu lalu.

Kejayaannya memberi saingan kepada juara dunia tiga kali berturut-turut sejak 2020, Harrie Lavreysen dari Belanda jelas satu kejutan apatah lagi dia baru kembali berkayuh kurang 12 bulan selepas menjalani pembedahan jantung.

Bagaimanapun, impian Azizulhasni untuk memenangi pingat berganda tidak kesampaian apabila dia terkandas di suku akhir dalam acara pecut akibat kepenatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2023 @ 2:42 PM