AZIZUL bersama Ahmad Faizal. FOTO Instagram Azizulhasniawang.
AZIZUL bersama Ahmad Faizal. FOTO Instagram Azizulhasniawang.
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Selepas bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pelumba berbasikal trek negara Datuk Azizulhasni Awang sempat berkongsi kisah kejayaan memenangi pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 bersama Menteri Belia dan Sukan baharu.

Azizul, yang membanggakan negara apabila meraih perak acara keirin di Tokyo bulan lalu, bertemu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di pejabat menteri di Putrajaya semalam.

"Saya mengunjungi Menteri Belia dan Sukan, Dato' Seri Ahmad Faizal Azumu @faizalazumu yang baru memulakan tugas secara rasmi di kementerian beberapa hari yang lalu.

"DS Faizal memang tidak asing buat saya dan keluarga kerana arwah bapa beliau berkawan baik dengan bapa mertua saya di Ipoh. Saya berkongsikan kisah kejayaan dan juga pingat perak yang dimenangi di Tokyo baru-baru ini," tulis Azizul dalam hantaran terkini di media sosial.

Azizul berkata, banyak perkara yang dibincangkan bersama antaranya perihal keluarga dan persiapan masa depan sekiranya dia mengambil keputusan untuk menggantung basikal suatu hari nanti.

"Banyak idea bernas yang dilontarkan oleh DS Faizal dan beliau sendiri bersedia untuk memberikan sokongan penuh mengenai perancangan saya termasuk misi mengejar emas di Paris 2024 nanti.

"DS Faizal juga berkata: 'Ate kome dah macam David Beckam dalam dunia basikal ni yeop, kome kene pikior jugak masa depan nanti, ngayuh basikal bukan selamenye yeop. Time (masa) kite ngayuh orang kenei la kite, ate bile kite dah tak ngayuh mane mau nye orang kenei lagi'."

Azizul turut berterima kasih kepada Faizal yang sudi meluangkan masa bersamanya dan mendoakan menteri baharu itu selamat menjalankan tugas serta mampu membawa arus baharu dalam arena sukan negara.

Sesudah meraih gangsa pada temasya Rio 2016 dan memperbaikinya dengan perak pada Tokyo 2020, Azizul kini memburu pingat emas pada Paris 2014. Pelumba berasal dari Dungun, Terengganu itu membuat penampilan sulung pada temasya Beijing 2008.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 September 2021 @ 3:19 PM