AZIZULHASNI diharap meneruskan kecemerlangan di ACC 2023 di Velodrom Nasional. FOTO FB AZIZULHASNI AWANG
AZIZULHASNI diharap meneruskan kecemerlangan di ACC 2023 di Velodrom Nasional. FOTO FB AZIZULHASNI AWANG
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2023 di Velodrom Nasional, Nilai, bermula 13 hingga 19 Jun ini menjadi medan terbaik buat pelumba negara mengumpul mata bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024 (Paris 2024).

Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill berkata, barisan pelumba negara khususnya Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom harus mengambil peluang beraksi di laman sendiri bagi meraih kemenangan.

"Untuk makluman, ACC adalah satu kejohanan peringkat benua yang cukup penting. ACC adalah kejohanan kedua terbesar selepas Kejohanan Dunia di Glasgow, tahun ini buat pelumba mengutip mata kelayakan Sukan Olimpik.

"Jadi sudah tentu setiap pelumba yang bertanding pada ACC kali ini mahu mengutip mata untuk menempatkan diri pada kedudukan lebih baik menjelang Paris 2024.

"Bagi pelumba Malaysia pula, pastinya kita menyandarkan harapan kepada Azizulhasni dan Shah Firdaus untuk mengutip mata yang boleh mencerahkan peluang mereka layak ke Olimpik," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan PKBM.

Di atas kertas, Azizulhasni dan Shah Firdaus menjadi sandaran terbaik skuad berbasikal trek negara beraksi di Paris 2024 selepas mereka tampil bersama pada edisi 2020 di Tokyo, Jepun.

Malah, Azizulhasni yang turut membuat penampilan pada edisi 2008 di Beijing, China; 2012 di London dan 2016 di Rio, Brazil menjadi antara prospek Malaysia dalam menyumbang pingat emas sulung Sukan Olimpik di bumi Paris nanti.

Amarjit berkata, Azizulhasi dan Shah Firdaus dijangka mendapat saingan sengit daripada barisan pelumba Jepun, Korea Selatan dan China pada ACC kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Jun 2023 @ 9:50 PM