IZZAH sah beraksi di Sukan Olimpik buat pertama kali di Paris Julai depan. FOTO Ihsan Majlis Sukan Negara
IZZAH sah beraksi di Sukan Olimpik buat pertama kali di Paris Julai depan. FOTO Ihsan Majlis Sukan Negara
BERNAMA

Kuala Lumpur: Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (PKBM) percaya pelumba trek wanita negara Nurul Izzah Izzati Mohd Asri harus disertakan dalam program Fast Track di bawah inisiatif Road to Gold (RTG) selepas secara rasmi layak ke ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Pemangku Timbalan Presiden PKBM Datuk Amarjit Singh Gill berkata langkah itu akan membantu mengembangkan sepenuhnya potensi pelumba berusia 21 tahun itu untuk mencabar pelumba terbaik dunia pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Beliau berkata, Nurul Izzah Izzati, yang mengesahkan penampilan sulungnya dalam Sukan Olimpik Paris 2024 dari 23 Julai hingga 11 Ogos ini dalam acara keirin dan pecut boleh memaksimumkan keupayaannya dengan sokongan dan latihan yang betul.

"Saya tidak akan memberi tekanan kepadanya untuk Sukan Paris. Ini penampilan pertamanya jadi kami perlu lebih praktikal dan dia masih mempunyai banyak potensi.

"Penyertaannya di bawah Program Fast Track akan menjadi sangat baik. Walaupun dia mungkin bukan pencabar pingat (di Paris), dia perlu dimasukkan di bawah program itu kerana tumpuan kita sepatutnya empat tahun ke depan, bukannya dua bulan (ke Paris)," katanya kepada Bernama hari ini.

Amarjit berkata walaupun pelumba itu tidak menyerlah pada penampilan pertama di Kejohanan Piala Negara-Negara UCI 2024 di Milton, Kanada, minggu lalu apabila menamatkan saingan di tempat kelapan acara kerin namun berjaya layak ke temasya Olimpik.

Pencapaian dua emas masing-masing dalam acara kerin dan 500 meter ujian masa pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di New Delhi Februari lalu turut membantu beliau dalam proses kelayakan ke Paris 2024.

Terdahulu, Amarjit mengumumkan bahawa Nurul Izzah Izzati, bersama-sama jaguh berbasikal trek lelaki Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom telah melayakkan diri secara rasmi ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Majlis Sukan Negara (MSN) telah memulakan Program Fast Track RTG dengan misi mewujudkan atlet muda dan berbakat berumur antara 16 hingga 25 tahun yang berpotensi untuk memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Pemain skuasy Ng Eain Yow, S. Sivasangari, Aifa Azman dan Aira Azman serta penerjun Bertrand Rhodict Lises dan Enrique Maccartney Harold telah disenaraikan dalam program Fast Track RTG.

Sementara itu, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (OCM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengucapkan tahniah kepada trio berbasikal trek atas kelayakan mereka untuk Paris 2024.

"Saya percaya dengan pengalaman dan tekad mereka, kedua-dua Azizulhasni dan Shah Firdaus akan melakukan yang terbaik bagi menyumbang pingat untuk Malaysia.

"Manakala bagi Nurul Izzah, pelumba muda masa depan kita, saya gembira dia berjaya layak. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terbaik kepada mereka dalam persediaan mereka menjelang Olimpik," katanya dalam satu kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2024 @ 9:18 PM