PERTANDINGAN dibahagikan kepada enam kumpulan, johan dan naib johan bersaing di peringkat grand final. FOTO Ihsan SK Pos Gedong
PERTANDINGAN dibahagikan kepada enam kumpulan, johan dan naib johan bersaing di peringkat grand final. FOTO Ihsan SK Pos Gedong
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Sebanyak 36 pasukan dijangka menyertai Kejohanan Sepak Takraw Terbuka Pahang Bawah 12 tahun 2024, merebut Piala Dato Abu Jimi, Timbalan Presiden di Bera pada 4 Mei depan.

Kejohanan antara regu itu dianjurkan Persatuan Sepak Takraw Negeri Pahang (PSTNP) kali pertama diadakan menawarkan hadiah keseluruhan RM1,800 serta medal.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sekolah dan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) PSTNP, Mohd Jefry Yusoh berkata, kejohanan yang diadakan bagi mencungkil bakat baharu dikalangan pemain remaja yang akan menjadi pelapis pasukan negara suatu hari nanti.

Menurutnya, pertandingan berkenaan diadakan di dua gelanggang iaitu di Kompleks Rakan Muda Bera dan Dewan SKM Bandar Kerayong Bera.

Pertandingan dibahagikan kepada enam kumpulan, johan dan naib johan bersaing di peringkat grand final.

Katanya, kejohanan berkenaan mendapat kerjasama Persatuan Sepak Takraw Daerah Bera (PSTDB) dan Sektor Pembangunan Bakat Murid Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bera.

"Sebanyak 22 pasukan kini telah mendaftar untuk menyertai kejohanan berkenaan, selain pasukan tempatan turut mengesahkan penyertaan regu dari Melaka dan Terengganu.

"Johan pertandingan berkenaan menerima hadiah wang tunai RM500 dan medal, naib johan RM400 dan medal serta ketiga RM300 dan medal.

Tempat ke empat hingga ke enam turut meraih hadiah," katanya, dihubungi di sini hari ini.

Beliau menambah, untuk menjulang nama bekas pemain sepak takraw negara, penganjur memutuskan menamakan enam kumpulan dan grand final dengan nama legenda seperti Iskandar Arshad, Adnan Saidin, Rehan Mat Din, Engku Halim Ku Musa dan Ahmad Jais Baharum.

Mohd Jefry berkata, kejohanan ini akan dijadikan acara tahunan dalam usaha persatuan mencungkil dan menggilap bakat muda untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

Maklumat lanjut boleh hubungi cikgu Mohd Jefri 0199882743, Asnizam Azmi 0134571623 dan Abu Nisa Ismail 0199603964.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2024 @ 4:20 PM