PASUKAN Asahan Kencana B meraikan kejayaan muncul juara Kejohanan Sepak Takraw Bawah 20 Tahun Tertutup Pahang 2023. -FOTO Mohd Rafi Mamat
PASUKAN Asahan Kencana B meraikan kejayaan muncul juara Kejohanan Sepak Takraw Bawah 20 Tahun Tertutup Pahang 2023. -FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Persembahan bertenaga menjadi kelebihan kepada trio Asahan Kencana B menewaskan Beserah B 2-0 untuk menjulang kejuaraan Kejohanan Sepak Takraw Bawah 20 Tahun Tertutup Pahang 2023 di Dewan Majlis Sukan Pahang (MSP), di sini semalam.

Pada perlawanan akhir, skuad yang dibarisi oleh Al Haris Rahimi Muhammad Zaib, Muhammad Izzuddin Zamzuri dan Mohamad Alif Najmi Mazaidan tidak banyak berhadapan masalah menjinakkan lawan dengan 21-17 dan 21-11.

Kejohanan kali pertama dianjurkan oleh MSP dengan kerjasama Persatuan Sepak Takraw Negeri Pahang (PSTNP) menarik penyertaan 19 pasukan tempatan yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak RM2,500.

Juara Asahan Kencana B membawa pulang hadiah medal, sijil dan wang tunai RM1,000, naib johan Beserah B menerima medal, sijil dan RM700. Tempat ketiga Asahan Kencana A (medal, sijil dan RM500) dan keempat Beserah A (medal, sijil dan RM300).

Jurulatih Asahan Kencana B, Mohd Khairuddin Zainal Abdul berkata pengalaman menjadi kelebihan pada skuad Asahan Kencana B untuk meraih kejuaraan pada pertandingan di peringkat negeri yang julung kali diadakan semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2023 @ 1:07 PM