HAIRI ditemui ketika Program berbuka puasa di Hotel Paragon Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
HAIRI ditemui ketika Program berbuka puasa di Hotel Paragon Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Kontinjen Johor bakal mempertaruhkan 80 peratus muka baharu bagi menghadapi temasya Sukan Malaysia Ke-21 (Sukma XXI) di Sarawak yang bakal menyingkap tirai pada 17 Ogos ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Hairi Mad Shah berkata, atlet pada Sukma kali ini merangkumi umur di antara 16 tahun hingga 21 tahun dalam usaha mempertahankan kejuaraan.

Beliau bagaimanapun berkata, untuk mengulangi kejayaan lalu (77 emas) agak sukar kerana atlet sebelum ini sudah melebihi had umur.

"Dalam usaha untuk mempertahan kejuaraan cabaran utama pastinya daripada pasukan tuan rumah iaitu Sarawak dan Selangor.

"Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi meletak sasaran 60 hingga 70 pingat emas untuk kita raih, walaupun ia tampak mencabar tapi kita akan berusaha dan menyahut sasaran itu," katanya.

Mohd Hairi menambah walaupun acara sukan kenu tidak dipertandingkan ketika sukan berkenaan adalah lubuk emas kontinjen Johor namun acara olahraga bakal memberi sumbangan pingat yang menyaksikan pasukan olahraga Johor bakal mempertaruhkan atlet yang berpotensi untuk menyinar dalam sukan itu.

Beliau menambah, bagi memastikan sasaran yang diletak tercapai, insentif RM10,000 bakal diberikan kepada pemenang pingat emas dan ia juga memberi perangsang buat semua atlet untuk hanya memberi fokus memburu pingat emas berbanding pingat perak mahupun gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2024 @ 10:01 AM