ABDUL Karim Rahman Hamzah (dua dari kiri) meninjau persediaan lokasi Kejohanan Boling Tenpin Terbuka Antarabangsa Sarawak 2024 di Megalanes Sarawak, di Emart Batu Kawa, di sini, hari ini. FOTO MOHD ROJI KAWI
ABDUL Karim Rahman Hamzah (dua dari kiri) meninjau persediaan lokasi Kejohanan Boling Tenpin Terbuka Antarabangsa Sarawak 2024 di Megalanes Sarawak, di Emart Batu Kawa, di sini, hari ini. FOTO MOHD ROJI KAWI
Mohd Roji Kawi


Kuching: Sarawak tidak menganggap peruntukan hanya RM50 juta yang disalurkan Kerajaan Persekutuan untuk penganjuran Sukan Malaysia Ke-21 (Sukma XXI) akan membebankan walaupun kos sebenar temasya sukan terbesar negara itu jauh lebih tinggi.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, subsidi Kerajaan Persekutuan itu realistik kerana pada penganjuran Sukma di Kuching lapan tahun lalu, Sarawak menerima subsidi sebanyak RM40 juta.

Beliau berkata, Sarawak menerima tawaran untuk menganjurkan temasya dwi tahunan itu meskipun baru menjadi tuan rumah pada 2016 kerana rasa tanggungjawab untuk memastikan acara sukan terbesar kebangsaan itu dapat dijalankan selepas beberapa negeri menolak untuk menjadi penganjur.

"Takkanlah apabila hanya diberi sebanyak RM50 juta kita tidak mahu menganjurkan Sukma XXI kerana sememangnya kos sebenar penganjuran temasya itu amat besar iaitu hampir RM300 juta.

"Harus difahami, kita sanggup menganjurkan Sukma XXI kerana ia acara sukan terbesar negara dan banyak faedah kita akan perolehi melaluinya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau persediaan lokasi Kejohanan Boling Tenpin Terbuka Antarabangsa Sarawak 2024 di Megalanes Sarawak, di Emart Batu Kawa, di sini, hari ini.

Abdul Karim berkata, menerusi penganjuran Sukma XXI, banyak pihak seperti peniaga, pengusaha kraf tangan, pengusaha hotel serta pengangkutan akan turut mendapat faedah.

"Sebab itu, apabila Sukma XXI diadakan di Sarawak, kita tidak hanya menganjurkannya di Kuching sebaliknya turut mengadakan di sembilan bahagian lain seluruh Sarawak.

"Kita mahu lebih ramai rakyat Sarawak turut sama mendapat faedah daripada penganjuran Sukma XXI," katanya.

Sukma XXI bakal berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos ini di sembilan bahagian di Sarawak iaitu Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.

Sebanyak 37 jenis sukan membabitkan 488 acara iaitu 236 acara bagi atlet lelaki, 217 bagi atlet wanita dan 35 lagi acara campuran lelaki dan wanita.

Temasya itu akan menghimpunkan seramai 12,619 atlet serta pegawai dari seluruh negara termasuk dari Brunei.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2024 @ 2:55 PM