PARANG (duduk, tengah)  berkata persiapan Kontinjen Wilayah Persekutuan mencapai lebih 80 peratus. FOTO Bernama
PARANG (duduk, tengah) berkata persiapan Kontinjen Wilayah Persekutuan mencapai lebih 80 peratus. FOTO Bernama
BERNAMA

Alor Gajah: Kontinjen Wilayah Persekutuan akan memuktamadkan jumlah sasaran pingat emas pada Sukan Malaysia (Sukma) XXI Sarawak 2024 selewat-lewatnya akhir Jun ini.

Ketua Kontinjen Wilayah Persekutuan, Datuk Parang Abai @ Thomas berkata keputusan itu akan dibuat selepas mengadakan perbincangan dengan semua ketua jurulatih bagi kesemua acara sukan yang akan disertai mereka pada temasya itu.

"Sudah tentu tumpuan kita pada Sukma kali ini ialah acara-acara yang boleh menjadi lubuk emas kepada Wilayah Persekutuan antaranya gimrama, renang, karate, silat dan basikal.

"Berdasarkan rekod pencapaian pada edisi sebelum ini juga, kita berada pada kedudukan yang agak baik iaitu lima teratas dan tidak mustahil sasaran kita menjadi juara pada kali ini kerana Wilayah Persekutuan pernah menjadi juara keseluruhan pada Sukma 2014 di Perlis," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Penutup Kem Atlet Wilayah Persekutuan Sukma XXI Sarawak 2024 yang membabitkan 509 atlet selama tiga hari di Kem Permata Resort Alor Gajah.

Mengulas lanjut, Parang berkata persiapan Kontinjen Wilayah Persekutuan mencapai lebih 80 peratus bagi mengharungi saingan temasya di Bumi Kenyalang yang bakal membuka tirai pada 14 Ogos depan.

"Kita yakin setiap pasukan memulakan persiapan sejak tahun lepas dan berdasarkan rekod yang baik sebelum ini, kita tidak boleh berpuas hati malah perlu lebih berusaha.

"Namun kita juga yakin dengan keupayaan dan kemampuan kesemua atlet untuk capai lebih baik dari temasya sebelum ini kerana kebanyakan yang bertanding adalah atlet-atlet yang berada pada momentum dan prestasi terbaik," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, menjadi tradisi Wilayah Persekutuan untuk memberikan insentif kepada atlet yang berjaya meraih pingat, namun nilai insentif itu akan diumumkan sendiri Menteri Wilayah Persekutuan nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2024 @ 8:27 PM