KEADAAN padang SNBJ menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia antara TFC dan JDT malam ini.
KEADAAN padang SNBJ menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia antara TFC dan JDT malam ini.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: "Jika ada anugerah padang bola sepak paling buruk di dunia, sudah tentu SNBJ (Stadium Nasional Bukit Jalil) memenangi gelaran itu".

Demikian pandangan pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustafa yang menganggap Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Datuk Hans Isaac gagal dalam tugasannya sebagai 'orang nombor satu' hingga mencemarkan imej sukan negara di mata dunia.

Malah bukan sekali, tetapi sudah dua kali termasuk ketika saingan Pestabola Merdeka pada Oktober lalu yang menyaksikan rumput mudah tercabut terutama aksi babitkan Harimau Malaya dan India hingga mengundang kritikan peminat di mana ia disiarkan secara langsung termasuk di India.

Jelas Sadek yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, permohonan maaf oleh PSM yang mengakui kegagalan menyediakan padang SNBJ sebelum aksi final Piala Malaysia antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu FC masih tidak cukup, sebaliknya selebriti yang juga pelakon popular itu perlu meletakkan jawatan.

Ujarnya lagi, tindakan itu perlu bagi mengelak insiden itu berulang terutama menjelang aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di SNBJ pada Mac depan selepas dua kali dimalukan.

"Menteri Sukan (Hannah Yeoh) perlu pecat beliau kerana dalam masa sebulan kita mendapat liputan negatif di dunia, sebagai stadium yang mempunyai rumput paling teruk di dunia dalam pertandingan 'high performance' atau aksi tahap tinggi.

"Sudah dua kali penyediaan kualiti padang yang sangat tidak sesuai untuk perlawanan kompetifif tahap tertinggi. Ia bukan saja boleh memberi kecederaan kepada atlet yang bertanding atas rmput itu, bahkan ia mencemarkan imej negara di mata dunia di mana perlawanan itu akan disaksikan oleh seluruh dunia.

"Inilah sebabnya bila individu tidak sepatutnya diangkat sebagai Pengerusi yang akan bertanggungjawab sepenuhnya di atas setiap keputusan dipilih, dan menteri harus memecatnya kerana beliau tidak sesuai menguruskan hal-hal berkaitan pengurusan industri sukan.

"Penyediaan sukan terutamanya rumput bukan seperti menganjurkan sebuah konsert, tetapi ia memerlukan ilmu yang mendalam tentang hal-hal ini. Rumput perlukan masa yang cukup untuk betul-betul matang.

"Jadi keputusannya (Hans) membenarkan konsert diadakan adalah jawapan kepada kegagalannya menguruskan dan ia mencemarkan imej negara," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Menerusi laporan muka belakang yang bertajuk 'Padang Cap Ayam' hari ini, permukaan rumput SNBJ dilihat tidak bersedia bagi menganjurkan aksi final Piala Malaysia antara JDT dan Terengganu FC.

Hasil tinjauan Arena Metro di venue keramat Harimau Malaya itu semalam, mendapati terdapat dua bahagian dilihat bertampal dan tidak rata terutama di bahagian tengah padang dan belakang padang di sebelah kanan dari arah tempat duduk kenamaan.

Keadaan padang yang dilihat umpama padang ragut itu disebabkan kebenaran PSM yang meluluskan penganjuran konsert kumpulan Coldplay pada 22 November lalu sekaligus rumput jenis Zeon Zoysia di venue itu tidak sempat pulih untuk aksi final itu.

Malah pada Oktober lalu, isu padang turut mengundang kritikan ekoran tindakan lewat kerja-kerja penukaran rumput yang hanya bermula dua bulan sebelum Pestabola Merdeka biarpun majlis pecah tanah dilakukan awal tahun ini kerana PSM memberi laluan penganjuran kepada beberapa konsert.

"Saya berpandangan, menteri harus pulangkan semula duit Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menaja penukaran rumput itu (dari Cow Grass kepada Zeon Zoysia) kerana PSM gagal menjaga sebaiknya pemberian oleh pemilik JDT itu.

"Malah duit rakyat juga terpaksa digunakan untuk membaik pulih kerosakan yang ada sekarang dan ini nyata mencerminkan kegagalan dari aspek pengurusan," tambah Sadek.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2023 @ 1:03 PM