CARLOS Alcaraz pada sidang media. FOTO AFP
CARLOS Alcaraz pada sidang media. FOTO AFP
Reuters

Buenos Aires: Carlos Alcaraz berpeluang memenangi pingat emas Sukan Olimpik di Roland Garros tahun ini serta mahkota Terbuka Perancis dan ketika dia akan beraksi untuk kedua-dua saingan itu, bintang Sepanyol itu berkata jika terpaksa memilih, dia akan memilih untuk memburu emas di Olimpik Paris.

Saingan tenis di Olimpik akan berlangsung pada Julai depan, sebulan selepas Grand Slam kedua tahun itu di gelanggang tanah liat yang sama di ibu negara Perancis itu.

"Bagi saya, ia adalah impian saya memenangi pingat untuk negara dan memenangi emas adalah salah satu pencapaian terbesar yang boleh berlaku kepada anda.

"Tahun ini, jika anda memberi saya pilihan, saya akan mengatakan bahawa saya akan memburu emas Olimpik, walaupun sebenarnya saya ingin memenangi kedua-duanya. Saya tidak akan berbohong," kata Alcaraz kepada pemberita di Buenos Aires.

Pemain berusia 20 tahun itu memenangi Terbuka AS pada 2022 dan Wimbledon tahun lalu tetapi gagal menambah koleksi Grand Slamnya bulan lalu selepas tewas pada suku akhir Terbuka Australia kepada Alexander Zverev, yang memenangi emas di Olimpik Tokyo.

Alcaraz berkata, pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic dan juara di Melbourne Park, Jannik Sinner adalah antara tiga pesaing utamanya termasuk Zverev.

"Saya rasa Djokovic dan Sinner adalah pesaing utama yang perlu ditewaskan.

"Zverev juga mempunyai lebih rekod kemenangan ke atas saya, tetapi saya rasa Djokovic dan Sinner berada di puncak prestasi sekarang," kata pemain nombor dua dunia itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2024 @ 9:01 AM