DJOKOVIC puas selepas meraih kejuaraan penutup musim di Turin. FOTO AFP
DJOKOVIC puas selepas meraih kejuaraan penutup musim di Turin. FOTO AFP
AFP

Turin: Novak Djokovic tidak berhasrat untuk memperlahankan rentak selepas menamatkan satu lagi tahun yang luar biasa dengan memecahkan rekod selepas meraih kemenangan ketujuh Jelajah Akhir ATP.

Pada usia 36 tahun, Djokovic masih pemain nombor satu tenis dalam jarak yang agak jauh dan dia mengumpul pelbagai rekod baharu musim ini, menjadikan jumlah Grand Slamnya kepada 24 dan menduduki tempat teratas ranking dunia akhir tahun buat kali kelapan.

Dia menewaskan pemain muda sedang meningkat naik, Carlos Alcaraz dan Jannik Sinner dalam perjalanannya untuk menang di Turin dan memburu lebih banyak kejayaan pada 2024, apabila Paris menjadi tuan rumah temasya besar yang belum pernah dimenanginya, Sukan Olimpik.

Ditanya apa lagi yang boleh dia capai dalam tenis, Djokovic bergurau: "Anda boleh memenangi empat Slam dan emas Olimpik."

"Saya sentiasa mempunyai cita-cita dan matlamat tertinggi. Itu tidak akan berbeza untuk tahun depan, itu pasti," tambahnya.

"Motivasi, terutamanya untuk kejohanan terbesar dalam sukan, masih ada... Bagi saya, jelas sekali ia adalah Grand Slam dan Final, dan tahun depan diharapkan juga Sukan Olimpik."

Sukan Olimpik berlangsung pada 26 Julai hingga 11 Ogos di ibu negara Perancis, bermula kurang dari dua minggu selepas Wimbledon dan berakhir sejurus sebelum Terbuka Amerika Syarikat.

Djokovic muncul juara Jelajah Akhir ATP selepas mengalahkan Sinner 6-3, 6-3.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2023 @ 10:03 AM