ALCARAZ dan Djokovic (kiri) bergambar sebelum perlawanan pertunjukan di Riyadh pada Disember lalu.
ALCARAZ dan Djokovic (kiri) bergambar sebelum perlawanan pertunjukan di Riyadh pada Disember lalu.
Reuters

Melbourne: Carlos Alcaraz sangat bersemangat untuk beraksi di Terbuka Australia dengan tekad menyingkirkan juara bertahan Novak Djokovic dan meraih kemenangan Grand Slam ketiga yang akan membawanya kembali ke kedudukan nombor satu dunia.

Pemain Sepanyol berusia 20 tahun itu berharap dapat melupakan kenangan pahit akibat kecederaan pada awal tahun lalu yang menyebabkan dia terlepas menyertai Terbuka Australia dan ia dimanfaatkan oleh Djokovic yang kembali merampas puncak ranking.

Alcaraz yang mendominasi dunia tenis sejak menjadi pemain tenis lelaki nombor satu termuda susulan menjuarai Terbuka Amerika Syarikat 2022 tampil bangkit dengan merangkul kejuaraan Grand Slam keduanya di Wimbledon dalam aksi epik lima set ketika menentang Djokovic.

Bagaimanapun, selepas memenangi Terbuka AS 2023 pada September, pemain Serbia berusia 36 tahun itu menewaskan pesaing mudanya di Pusingan Akhir ATP sekali gus muncul pemain nombor satu dunia kali kali kelapan berturut-turut.

Persaingan mereka mungkin bakal disaksikan dalam satu lagi aksi epik dan sekali lagi ranking pertama dunia berada dalam jangkauan Alcaraz.

Djokovic mempunyai kelebihan 2,200 mata berbanding Alcaraz yang tidak mempunyai mata perlu dipertahankan di Australia selepas terlepas kejohanan pada 2023 kerana kecederaan kaki.

Ranking berdasarkan pungutan mata diperoleh pada setiap kejohanan yang tamat setiap tahun. Untuk mengekalkan mata dimenangi dalam sesuatu kejohanan, pemain mesti memperoleh sekurang-kurangnya keputusan sepadan dengan tahun sebelumnya.

Ini bermakna Alcaraz akan meraih 2,000 mata dengan memenangi gelaran di Australia dan merampas semula tempat pertama tanpa mengambil kira keputusan pemain Serbia itu.

Dia juga akan mengatasi Djokovic jika mara ke peringkat suku akhir, separuh akhir atau akhir dan pemain Serbia itu gagal mara bersama dengannya.

Walaupun Alcaraz mungkin tidak memerlukan sebarang motivasi tambahan, kemenangan akan mengukuhkan kedudukannya sekali gus tiada keraguan dia akan memimpin perubahan dalam tenis lelaki.

"Belajar daripada (Djokovic) adalah luar biasa. Ia sungguh mengagumkan dapat berkongsi gelanggang dengannya. Saya membesar melihatnya memenangi semua kejohanan besar dan sentiasa bermimpi tentang saat ini, di mana saya bermain menentangnya secara bersemuka dan saya sangat gembira dapat melakukannya," kata Alcaraz selepas mengalahkan Djokovic dalam aksi pertunjukan di Arab Saudi pada Disember lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2024 @ 12:20 PM