DJOKOVIC pada sidang media Piala Davis menjelang perlawanan menentang Sepanyol. -FOTO AFP
DJOKOVIC pada sidang media Piala Davis menjelang perlawanan menentang Sepanyol. -FOTO AFP
Reuters

Valencia: Mengejar pingat emas Olimpik menjadi matlamat utama Novak Djokovic untuk musim depan walaupun juara Grand Slam 24 kali itu sedar dia perlu bersedia dari segi fizikal dan mental untuk menghadapi jadual yang padat.

Djokovic memenangi gangsa di Beijing 2008 dan gagal di London 2012, Rio 2016 dan Tokyo dua tahun lalu, tetapi pemain Serbia itu yang akan berusia 37 tahun sebelum temasya di Paris masih cergas untuk memberi cabaran selepas merangkul tiga gelaran Grand Slam pada tahun ini.

Pemain nombor satu dunia itu juga mara ke final Wimbledon awal tahun ini, di mana dia tewas dalam pertarungan lima set kepada Carlos Alcaraz dan menegaskan dia akan terus beraksi dalam sukan tenis.

"Rancangan saya buat masa ini adalah untuk bermain di Sukan Olimpik, jadi saya berharap saya akan dapat bermain.

"Saya akan bersedia dari segi fizikal dan mental," kata Djokovic kepada pemberita di Valencia, di mana dia hadir untuk beraksi di Piala Davis hanya beberapa hari selepas kejayaannya di Terbuka Amerika Syarikat.

"Ia akan menjadi jadual yang sangat padat dan mencabar tahun depan dengan saingan Roland Garros di atas tanah liat, Wimbledon di atas rumput, Olimpik di atas tanah liat dan kemudian Terbuka AS dan kejohanan sebelum itu di gelanggang keras.

"Ia akan mencabar pemain, tetapi rancangan saya adalah untuk bermain di Olimpik kerana ia adalah salah satu acara paling penting dalam sejarah sukan itu. Anda juga akan mewakili negara dan menjadi sebahagian daripadanya adalah satu penghormatan yang besar."

Djokovic terlepas aksi ketika Serbia menang 3-0 ke atas Korea Selatan dalam peringkat kumpulan minggu ini tetapi mungkin akan beraksi menentang pasukan Sepanyol yang akan turun tanpa Alcaraz.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 September 2023 @ 9:09 AM