PENAGIH Dadah
PENAGIH Dadah
Nurul Hidayah Bahaudin dan Nurul Najwa Mohd Noordin dan Nor Syazrina Muhamad Tahir


Kajang: Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dilihat akan memberi kekuatan kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) sebagai agensi penting dalam program pemulihan penagih dadah.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, bacaan RUU dibacakan kali pertama dan kedua di parlimen bermula semalam.

"Pada hari ini, pembentangan ini berada di peringkat perbahasan dan lewat petang nanti, kita akan membuat pengulungan sebelum keputusan dibuat.

"Berdasarkan respons ahli dewan menerusi jumlah berdaftar untuk berucap sebanyak 39 ahli parlimen, ia menunjukkan minat dan keprihatinan ahli dewan yang juga sebahagian daripada kerajaan dan pembangkang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program i-Deen Kepulihan AADK 2024 di Ibu Pejabat AADK, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Abdul Halim Abdul Rahman; Ketua Pengarah Jabatan Penjara Datuk Nordin Muhamad dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK Khairul Anwar Bachok.

Shamsul berkata, beliau percaya semua pihak memainkan peranan dalam memastikan isu penyalahgunaan dadah dapat ditangani bersama.

"Matlamat pindaan itu dibuat untuk menggerakkan masyarakat secara keseluruhan bersama-sama menangani isu dadah kerana tanggungjawab ini tidak boleh diletakkan pada satu pihak sahaja.

"Selain AADK dan KDN sendiri, komuniti juga memainkan peranan kerana jika klien diletakkan dalam masyarakat untuk berkomunikasi dan berinteraksi dengan masyarakat, ia akan memberikan tahap kepulihan yang tinggi," katanya.

Katanya, kerajaan komited untuk memastikan usaha pemulihan dalam kalangan penagih dadah dapat ditambah baik termasuk menerusi pindaan undang-undang berkenaan.

"Antara inti pati pindaan adalah untuk memartabatkan peranan dan kedudukan pegawai pemulihan daripada AADK yang selama tempoh 41 tahun berjuang dan mengerah keringat membantu memulihkan mereka yang terjebak dengan dadah.

"Saya percaya dengan pindaan RUU ini perkhidmatan disediakan AADK kepada kumpulan sasar adalah lebih mudah, cepat dan meluaskan kepada penyalahgunaan dadah serta bahan.

"Melalui pindaan ini juga, usaha pemulihan akan jadi lebih meluas dan semua individu yang mempunyai permasalahan dadah lebih cepat mendapat perkhidmatan tanpa melalui beberapa birokrasi yang selama ini menjadi halangan kepada usaha merawat klien," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2024 @ 12:23 PM