HANNAH ketika sidang media di Putrajaya.  FOTO Mohd Fadli Hamzah
HANNAH ketika sidang media di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Ferzalfie Fauzi


Putrajaya: Program Road to Gold (RTG) yang dilancarkan akan sentiasa menitik beratkan permintaan atlet termasuk dari segi sokongan sains sukan.

Perkara itu disahkan sendiri Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menjawab keluhan atlet terjun negara, Datuk Pandelela Rinong mengenai ketiadaan perkhidmatan sokongan sains sukan secara tetap kepada skuad terjun kebangsaan.

Hannah berkata dalam RTG, kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memastikan segala kekurangan program sedia ada akan ditambah.

"Apa yang dibangkitkan Pandelela itu adalah sebab utama kita wujudkan RTG, iaitu menyelesaikan halangan sedia ada untuk kita bantu atlet berpotensi menang pingat," katanya dalam sidang media di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Ujarnya, mereka akan memberikan sokongan infrastruktur menambah daripada apa yang diperoleh atlet sekarang.

"Bagus Pandelela bagi maklumbalas seperti itu dan saya pasti, ini akan menjadi keutamaan Jawatankuasa RTG," katanya.

Semalam, Pandelela yang tersenarai dalam Program RTG mahu perkhidmatan sokongan yang dahulunya diberi kepada skuad terjun negara bagi menghadapi temasya Olimpik London (2012) dan Rio (2016) diiberikan semula.

Menurut Pandelela, kumpulan perkhidmatan sokongan dan kepakaran Institut Sukan Negara (ISN) itu berjaya membantunya membawa pulang pingat gangsa dalam acara 10 meter (m) platform individu di London dan perak 10m platform seirama di Rio.

Sokongan itu bagaimanapun dakwa Pandelela, tidak diteruskan ketika skuad terjun menghadapi saingan Olimpik Tokyo.

Menurut atlet terjun kelahiran Sarawak itu lagi, khidmat sokongan seperti tukang urut, pakar biomekanik, penganalisa video sewaktu latihan dan pertandingan amat diperlukan apabila atlet diminta mengamalkan sains sukan dan amat janggal jika kepakaran sains sukan tidak disediakan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2023 @ 5:31 PM