PENGARAH Teknikal (Terjun) MAS, Bryan Nickson Lomas. FOTO Bernama
PENGARAH Teknikal (Terjun) MAS, Bryan Nickson Lomas. FOTO Bernama
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Persekutuan Renang Malaysia (MAS) sedang meneliti resume terbaik untuk mengisi tiga kekosongan jurulatih dalam usaha meningkatkan kualiti terjunan atlet negara.

Pengarah Teknikal (Terjun) MAS, Bryan Nickson Lomas berkata, seorang jurulatih antarabangsa diperlukan untuk membimbing atlet dalam Program Podium manakala dua lagi jurulatih masing-masing satu antarabangsa dan tempatan diperlukan mengendalikan atlet pelapis kebangsaan.

"Hari ini kita bincangkan bersama MSN (Majlis Sukan Negara) untuk menambah jurulatih di peringkat podium dan pelapis kebangsaan.

"Kita amat memerlukan jurulatih baharu terutamanya di peringkat pelapis kebangsaan, kerana ketika ini hanya ada seorang jurulatih iaitu Lu Jia Ning dari China yang mengendalikan 13 atlet pelapis.

"Kita rasa keperluannya amat diperlukan segera, kita nak dua untuk membantu jurulatih Jia Ning, bagi mengembangkan lagi skuad prestasi pelapis kebangsaan kerana terlalu besar jurang antara atlet pelapis dan podium," kata Bryan, selepas mesyuarat jawatankuasa kerja sukan terjun bersama MSN, hari ini.

Jelas Bryan, tujuan pihaknya mahukan seorang jurulatih tempatan di peringkat pelapis kebangsaan bagi membolehkan jurulatih itu meraih ilmu daripada jurulatih antarabangsa terutamanya Jia Ning.

Sementara itu, Program Podium ketika ini mempunyai tiga jurulatih iaitu Li Rui dan Li Junbai selain Datuk Leong Mun Yee.

"Kami mencari jurulatih antarabangsa (untuk Program Podium) dan antara resume yang kami terima adalah calon yang pernah membawa atlet ke Olimpik, pernah melatih Venezuela, namun setakat ini siapa calon yang akan dipilih belum diputuskan lagi. Kita jangkakan pengambilan akan dibuat Februari tahun hadapan," kata Bryan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2023 @ 6:09 PM