ATLET  terjun negara, Bertrand Rhodict Lises ketika beraksi pada final acara 10 meter platform di Sukan Asia Hangzhou.
ATLET terjun negara, Bertrand Rhodict Lises ketika beraksi pada final acara 10 meter platform di Sukan Asia Hangzhou.
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Persekutuan Renang Malaysia (MAS) memerlukan lebih ramai jurulatih di bahagian pelapis untuk melahirkan kembali penerjun bertaraf dunia.

Pengarah Teknikal MAS, Bryan Nickson Lomas berkata, untuk pasukan pelapis negara ketika ini sememangnya kekurangan pelatih kerana jurulatih yang ada sekarang lebih fokus kepada skuad elit.

Perkara ini harus disegerakan agar penerjun muda negara dapat tingkatkan teknik terjunan dan darjah kesukaran mereka.

Katanya, dia dan Pengarah Prestasi Tinggi MAS, Khairul Safwan Mansur akan berbincang bersama MAS dan beberapa pihak lagi untuk mendapatkan lebih ramai jurulatih dengan kadar segera.

"Kalau ada dana cukup memang kita perlukan lebih cepat jurulatih yang banyak di peringkat ini (pelapis) sebab peringkat ini sangat di perlukan.

"Sebagai contoh dia (penerjun) hendak belajar dari dua setengah kepada tiga setengah pusingan atau dari tiga setengah hendak belajar terjunan lagi tinggi empat setengah contohnya.

"Itu semua ambil proses lama dan itu semua perlu jurulatih yang betul-betul fokus kepada mereka ini.

"Sekarang ini kita memang akan mula balik di negeri-negeri yang kurang aktif sebab kita hendak perluaskan lagi bakat di akar umbi," katanya kepada Arena Metro.

Bryan berkata, pihaknya dalam usaha mencari atlet wanita dari peringkat negeri untuk dibawa masuk ke skuad pelapis kerana mereka kekurangan penerjun ketika ini.

Tambahnya, untuk melatih penerjun wanita sedikit mudah jika hendak bandingkan dengan lelaki dan semua ini memerlukan masa bagi mendapatkan terjunan yang sempurna.

"Sebagai contoh wanita dalam acara 10 meter platform hanya perlu tiga terjunan yang tiada limit tetapi lelaki perlu ada tempat terjunan.

"Dan lelaki pula dia perlu buat bukan tiga setengah, untuk dia berjaya ke podium dia kena ada empat setengah pusingan, dia kena ada terjunan lebih berbanding perempuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2023 @ 6:46 PM