NUR Shazrin sandaran negara di Tokyo. FOTO Amran Hamid
NUR Shazrin sandaran negara di Tokyo. FOTO Amran Hamid
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Sesi latihan buat skuad pelayaran negara di Enoshima Yacht Harbour berjalan lancar dengan kesemua atlet berpeluang untuk merasai tiupan angin.

Keadaan angin juga semakin kuat dan tempoh masa yang ada diharapkan mampu untuk atlet negara mengadaptasi dengan keadaan persekitaran sebelum saingan sebenar bermula.

Bagi olimpian negara, Nur Shazrin Mohamad Latif yang akan beraksi dalam acara laser wanita, dia kini sudah tidak sabar untuk bertanding dengan pelayar terbaik dunia.

Tambahnya selepas lama tidak dapat menyertai sebarang pertandingan kini 'gian' akan dapat dilepaskan di pentas Olimpik.

Biarpun mengetahui cabarannya bukan mudah terutama untuk menghadiahkan emas buat negara, atlet kelahiran Kedah itu yakin dia akan memberikan yang terbaik dan berjuang berhabis-habisan.

"Keadaan di sini sekarang ini sangat panas sekitar 33 hingga 35 darjah celsius tapi saya sangat teruja untuk beraksi buat kali kedua di Olimpik kali ini dan tidak sabar beraksi bersama mereka yang terbaik dunia.

"Saya juga tidak sabar untuk melihat sejauh mana perkembangan prestasi saya dan saya berjanji untuk berlawan hingga ke penghabisan. Demi Malaysia," katanya.

Enoshima Yacht Harbour dibuka kepada semua pelayar bagi menguji peralatan.

Namun kata Shazrin, tiupan angin itu dijangka akan meningkat dari enam hingga lapan knot ketika ini, kepada 13 knot dalam beberapa hari lagi.

Pada penampilan pertama Shazrin, di pentas Olimpik Rio, atlet berusia 23 tahun itu menduduki tempat ke-33 dari 37 peserta yang bertanding.

Namun prestasinya semakin baik apabila menghadiahkan pingat gangsa di temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang dalam acara laser radial.

Lokasi pelayaran yang bakal membuka tirai saingan pada 25 Julai ini, bagi temasya sukan terbesar dunia itu terletak di Bandar Fujisawa, kira-kira 70 kilometer (km) dari Tokyo.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Julai 2021 @ 5:04 PM