KIM Fatt (kiri) bersama Cheong Min yang menyumbang pingat perak menerusi wushu, semalam. FOTO MAJLIS OLIMPIK MALAYSIA
KIM Fatt (kiri) bersama Cheong Min yang menyumbang pingat perak menerusi wushu, semalam. FOTO MAJLIS OLIMPIK MALAYSIA
Syafiq Aznan


Hangzhou: Kejayaan beberapa atlet negara yang mula menuai pingat sejak semalam sudah pasti dapat membuatkan atlet lain 'panas' untuk berusaha melakukan yang terbaik, sekali gus menyumbang kepada kontinjen negara.

Ketua kontinjen negara (CDM) ke Sukan Asia 2023, Datuk Chong Kim Fatt optimis situasi itu secara tidak langsung akan membantu misi negara dalam usaha mencapai 27 pingat tanpa warna yang disasarkan pada temasya di Hangzhou kali ini.

"Kepada atlet kita, saya percaya mereka mempunyai semangat berkobar-kobar dan bukan datang ke sini untuk makan angin.

"Saya yakin 27 pingat yang kita sasarkan bukan satu masalah. Ini janji, hasrat dan semangat untuk kontinjen negara di Sukan Asia Hangzhou 2022," katanya.

Semalam, 'tuaian' pingat negara bermula dengan pingat gangsa pertama dalam acara pelayaran menerusi Asnawi Iqbal Adam dan Tengku Nuraini Ezaty Tengku Khairudeen serta dua gangsa menerusi skuad berbasikal trek dalam acara pecut berpasukan wanita dan lelaki.

Ratu wushu negara, Tan Cheong Min meraih pingat perak pertama negara dalam acara gabungan nanquan dan nandao disusuli skuad e-sukan negara dalam Arena of Valor.

Pingat emas pertama negara muncul pada hari keempat temasya Sukan Asia, kali ini daripada acara pelayaran menerusi Nur Shazrin Mohamad Latif, hari ini.

Sementara itu, Kim Fatt yang juga Presiden Persekutuan Wushu Malaysia (WFM) itu memahami perasaan atletnya, Cheong Min yang menitiskan air mata di atas podium dan pada sidang media selepas berjaya memenangi pingat perak.

"Walau di mana tempat kamu rebah, di situlah kamu harus bangkit. Kehidupan yang kita tempuhi terlalu banyak kekalahan berbanding kemenangan, terlalu banyak masalah, namun paling utama jangan takut dan lari, kita (atlet) perlu atasinya.

"Dia (Cheong Min) pernah melalui situasi hampir sama apabila berada di kedudukan kedua acara nanquan. Namun pada acara nandao, sedikit kesilapan membuatkan matanya dipotong dan tergelincir ke kedudukan keempat, sekali gus terlepas pingat pada Sukan Asia 2018.

"Dia menangis membuktikan walaupun gagal pada 2018, kesakitan itu disimpan sehingga hari ini.

"Bayangkan mereka menyimpannya dalam hati selama lima tahun dan hari ini (semalam), mereka melunaskannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2023 @ 8:28 PM