ATLET wushu wanita negara Tan Cheong Min memenangi emas bagi acara Nangun + Nandao Sukan Sea Kemboja 2023, semalam. FOTO Fathil Asri
ATLET wushu wanita negara Tan Cheong Min memenangi emas bagi acara Nangun + Nandao Sukan Sea Kemboja 2023, semalam. FOTO Fathil Asri


Phnom Penh: Presiden Wushu Malaysia, Datuk Chong Kim Fatt menyarankan supaya satu perubahan perlu dilakukan dalam skuad wushu negara sekiranya mahu mengekalkan status kuasa besar sukan itu di rantau Asia Tenggara.

Menurut Kim Fatt, ketika ini negara kecil seperti Brunei sudah mengorak langkah dalam sukan itu apabila melantik jurulatih dari China untuk jangka masa panjang dan ia mula membuahkan hasil apabila mereka memenangi dua pingat emas dalam acara Taolu.

Tambahnya, Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Sukan Negara (MSN) perlu memikirkan rancangan jangka panjang dan pelaburan strategik untuk sukan wushu.

"Kami akan berjuang untuk pingat di Sukan Asia Hangzhou tetapi kami berharap kami mendapat bantuan khusus daripada pihak tertentu seperti dalam aspek psikologi.

"Atlet kami berjaya pada hari pertama pertandingan tetapi keesokan harinya mata mereka jatuh...ini sesuatu yang perlu kita betulkan.

"Jika anda lihat atlet kita telah meningkat 10-15 peratus tetapi negara lain seperti Singapura, Indonesia, Vietnam dan Brunei meningkat 20-25 peratus.

"Negara-negara lain telah menggunakan khidmat jurulatih China secara konsisten sejak 10 tahun lalu tetapi bagi kami, kami tidak menggunakan jurulatih China sejak lima hingga enam tahun lalu... kami hanya menghantar atlet untuk kem latihan sebulan di China," katanya.

Untuk rekod, pada Sukan Sea Kemboja, pasukan wushu Malaysia mengekalkan standard mereka dengan berjaya meraih dua emas daripada atletnya, Tan Cheong Min daripada acara gabungan Nandao/Nangun dan acara Nanquan.

Dalam pada itu Kim Fatt turut menegaskan bahawa atlet tidak seharusnya diberikan program jangka pendek berdasarkan Sukan Sea dan jangka hayat sesuatu program adalah penting untuk kekal sebagai kuasa besar sukan itu.

"Kami memenangi dua pingat emas daripada Sukan Sea dan ia adalah sama dari dua edisi lalu. Kami boleh memperoleh lebih banyak tetapi ia memerlukan lebih banyak pelaburan.

"Kami bekerja keras untuk mengumpul dana tetapi jika anda melihat kerajaan Singapura mengepam satu juta dolar kepada persatuan wushu mereka untuk membangunkan pengurusan mereka, pendidikan pengadil... kami kekurangan dalam bidang ini.

"Kami sepatutnya mendapatkan jurulatih dari China tetapi sehingga kini kami tidak tahu status dan apa yang berlaku dengan MSN. Jurulatih itu sepatutnya membantu kami membuat persiapan untuk Sukan Asia Hangzhou pada bulan September tetapi tiada apa-apa perkembangan yang kami terima ketika ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mei 2023 @ 4:04 PM