ANTARA aksi Cui Chenxi. FOTO AFP
ANTARA aksi Cui Chenxi. FOTO AFP
Reuters

Hangzhou: Cui Chenxi muncul pemenang pingat emas Sukan Asia termuda China selepas atlet papan selaju berusia 13 tahun itu memenangi acara jalanan wanita pada hari keempat pertandingan di Hangzhou.

Dengan persembahan menarik yang menampilkan beberapa 'Ollies' dan pergerakan memukau lain, Cui meraih emas di hadapan rakan senegara, Zeng Wenhui, 18, manakala Miyu Ito, 16, dari Jepun, meraih gangsa.

"Saya melakukannya dengan baik hari ini," kata Cui ringkas.

Cui yang berasal dari wilayah Shandong timur China, hanya terbabit dengan sukan papan selaju pada tahun 2020 apabila sekatan Covid-19 melanda China di mana dia tidak boleh berlatih dalam acara kasut roda, yang mula diceburinya sejak berusia tiga tahun.

Sementara itu, Margielyn Didal, yang memenangi emas untuk Filipina pada Sukan Asia 2018, baru berusia 24 tahun namun dia kelihatan seperti atlet veteran selepas semua pesaingnya di pentas final berusia 18 tahun dan ke bawah.

Dengan alat perlindungan diwajibkan untuk peserta bawah 18 tahun, Margielyn adalah satu-satunya atlet di final yang tidak dipaksa memakai topi keledar serta pelapik untuk melindungi lututnya.

"Saya tidak berasa tua kerana saya juga agak kebudak-budakan. Saya hanya suka bermain dengan mereka.

"Tetapi saya rasa agak janggal kerana semua orang memakai topi keledar dan pelapik lutut," katanya yang mengalami kecederaan di final sekali gus menyaksikannya menamatkan saingan di kedudukan terakhir daripada lapan peserta.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2023 @ 2:57 PM