OUCHI menggunakan tongkat ketika bermain papan selaju. FOTO AFP
OUCHI menggunakan tongkat ketika bermain papan selaju. FOTO AFP
AFP

Tokyo: Ryusei Ouchi sama seperti atlet papan selaju lain, memakai kemeja T besar, seluar yang sedikit terlondeh dan topi besbol.

Bagaimanapun, dia mempunyai satu lagi alatan tambahan iaitu tongkat.

Dia yang berusia 21 tahun hilang 95 peratus penglihatan akibat penyakit yang dikenali sebagai retinitis pigmentosa.

Bagaimanapun, ia tidak menghalangnya untuk bermain papan selaju atau mengikuti perkembangan sukan berkenaan yang dipertandingkan di Olimpik buat kali pertama.

Dia bergerak bermain papan selaju dengan tongkat digunakan untuk merasai setiap halangan di gelanggang.

"Kebanyakan mereka boleh melihat apa halangan yang ada dengan hanya menggunakan mata.

"Bagaimanapun, saya perlu merasainya terlebih dulu dengan menyentuh dan bergerak ke sana-sini," katanya.

Ia bukan mudah buatnya untuk terbabit dalam sukan berkenaan sedangkan atlet normal juga sering mengalami kecederaan.

"Mereka yang boleh melihat juga senang cedera tambahan pula seperti saya lagi banyak kecederaan akan dialami.

"Pertama sekali saya perlu berjalan di sekeliling gelanggang, jika perlu perlu menyentuh menggunakan tangan dan kaki. Saya cuba bayangkan susun atur gelanggang berkenaan. Segala gerakan dan pergerakan hanya bergantung kepada imaginasi saya.

"Apabila saya berjaya bergerak dan melakukan gerakan, perasaan itu sangat luar biasa," katanya yang menganggap pemenang sulung emas papan selaju Olimpik, Yuto Horigome adalah seorang wira.

Ouchi mempunyai impian satu hari nanti papan selaju untuk orang cacat penglihatan dapat dipertandingkan di Paralimpik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Julai 2021 @ 5:05 PM