KWON dilihat menghempas raketnya di gelanggang selepas tamat perlawanan. FOTO Agensi
KWON dilihat menghempas raketnya di gelanggang selepas tamat perlawanan. FOTO Agensi
AFP

Hangzhou: Pemain tenis Korea Selatan, Kwon Soon-woo menulis surat permohonan maaf selepas tewas mengejut di Sukan Asia, semalam.

Pemain yang menduduki ranking lebih rendah dari Thailand, Kasidit Samrej mengejutkan Kwon 6-3, 5-7, 6-4 pada pusingan kedua perseorangan lelaki di Hangzhou dan ia mencetuskan rasa kemarahan daripada pemain Korea Selatan berusia 25 tahun itu.

Tular gambar menyaksikannya menghempas raketnya di gelanggang sembilan kali sehingga rosak selepas tamat perlawanan dan kemudian menolak untuk berjabat tangan dengan lawannya itu.

Kwon, yang menduduki ranking ke-112 dunia berbanding lawannya di kedudukan ke-636 serta pemain pilihan untuk memenangi pingat, dikecam secara meluas di negaranya sendiri berikutan kelakuan itu.

Dia kemudian melawat kem latihan Thailand dan meminta maaf, kata agensi berita Yonhap, memetik daripada Persatuan Tenis Korea dan permohonan maafnya itu dilaporkan diterima.

Jawatankuasa Sukan dan Olimpik Korea mengeluarkan surat permohonan maaf bertulis tangan daripada Kwon, yang pernah memenangi dua gelaran ATP.

Dalam suratnya, Kwon berkata, dia kesal dengan apa yang dianggapnya sebagai 'tindakan cuai'.

"Saya dengan tulus ikhlas memohon maaf kepada semua rakyat Korea yang menyokong pasukan kebangsaan dan kepada penyokong di stadium. Saya minta maaf," tulisnya.

"Saya sekali lagi dengan tulus ikhlas memohon maaf kepada Samrej, yang mungkin tersinggung dengan tingkah laku biadap saya. Saya benar-benar menyesalinya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2023 @ 10:51 AM