PEMAIN tenis remaja Perancis, Michael Kouame (kiri) menampar pemain lawan, Isnin lalu. FOTO Agensi
PEMAIN tenis remaja Perancis, Michael Kouame (kiri) menampar pemain lawan, Isnin lalu. FOTO Agensi
AFP

Paris: Pemain tenis remaja Perancis, semalam, meminta maaf selepas menampar pemain lawan - seperti tindakan Will Smith menampar Chris Rock di Anugerah Oscars - sambil menyifatkan serangan itu akibat kutukan penonton.

Michael Kouame, 15, menampar muka Raphael Nii Ankrah dalam kejohanan di Accra, Ghana ketika kedua-dua pemain itu bertemu di jaring untuk bersalaman selepas perlawanan, Isnin lalu.

Menerusi media sosialnya, Kouame yang tewas dalam perlawanan tiga set itu berkata, tindakannya itu berikutan kecewa melampau dan perlawanan sukar, selain dia dikutuk penonton yang menyokong pemain tuan rumah.

"Saya sangat menyesal dengan tindakan itu. Ketika perlawanan, saya beberapa kali dikutuk ramai penonton termasuk terhadap ibu saya, tetapi ia bukan alasan bagi perbuatan itu," katanya.

Dia turut meminta maaf terhadap lawannya.

"Saya menerima apa saja keputusan Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF)," katanya.

"Saya akan menggunakan tempoh ini untuk melihat bagaimana cara menangani situasi begini pada masa depan dalam usaha mempamerkan personaliti sebenar."

Petang semalam, ITF menyatakan sedang menyiasat insiden berkenaan sebelum menentukan tindakan sewajarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2022 @ 9:14 AM