ANTARA reaksi Alcaraz pada perlawanan hari ini. FOTO EPA
ANTARA reaksi Alcaraz pada perlawanan hari ini. FOTO EPA
AFP

Paris: Pemain nombor satu dunia, Carlos Alcaraz mengesahkan tempat Sepanyol ke suku akhir Piala Davis selepas menewaskan pemain Korea Selatan, Kwon Soon-woo straight set, hari ini.

Juara Terbuka Amerika Syarikat (AS), Alcaraz menang 6-4, 7-6 (7/1) menentang lawannya yang menduduki ranking ke-74 di halaman sendiri dekat Valencia selepas Roberto Bautista Agut sebelum itu menewaskan Hong Seong-Chan 6-1, 6-3.

Selepas kekalahan mengejut 1-2 kepada Kanada, Jumaat lalu yang menyaksikan Alcaraz tewas kepada pemain Kanada Felix Auger-Aliassime, Sepanyol menebus kekecewaan itu dengan meraih kemenangan ke atas Korea Selatan.

"Bermain di Piala Davis di sini adalah satu penghormatan buat saya. Tapi ia lebih menarik apabila hadir ke sini dengan status selaku pemain nombor satu dunia dan juara Terbuka AS.

"Saya mahu berkongsi kegembiraan itu dengan semua orang di sekeliling saya termasuk keluarga dan rakan-rakan," kata Alcaraz kepada penonton selepas perlawanan.

Menduduki tangga teratas Kumpulan B mengatasi Kanada, Sepanyol akan bertemu Croatia pada aksi suku akhir, November ini di hadapan penyokong mereka di Malaga.

Manakala Kanada akan bertemu Jerman dalam satu lagi aksi suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 September 2022 @ 9:29 AM