JUWAIDI selesa menggunakan busur jenama PSE Archery dan berharap prestasi cemerlang dalam tiga acara disertai di Hangzhou.
JUWAIDI selesa menggunakan busur jenama PSE Archery dan berharap prestasi cemerlang dalam tiga acara disertai di Hangzhou.
Saiful Affendy Sapran


Nilai: Pemanah compound negara, Mohd Juwaidi Mazuki mengharapkan tuah busur baharu untuk meraih pencapaian memberangsangkan di Sukan Asia Hangzhou, China, bermula 23 September ini.

Jelas pemanah berusia 33 tahun itu, busur jenama PSE Archery itu dilihat cukup sesuai dengan dirinya selain meningkatkan prestasi pemanah, sekali gus menambah keyakinannya untuk tampil di Hangzhou.

"Perubahan paling ketara saya buat dari segi teknik panahan, ia banyak membantu selain pendedahan menerusi pergaulan dengan pihak luar seperti wakil pembuat busur, banyak pengetahuan dapat saya gunakan untuk meningkatkan prestasi.

"Balik dari Paris (Piala Dunia Memanah Peringkat 4 di Paris) Ogos lalu, saya dapati perubahan prestasi lebih ketara kerana saya tukar peralatan (busur) selepas menandatangani kontrak tiga tahun bersama syarikat pembuat alatan memanah (PSE Archery).

"Jenama itu sekarang antara paling baik ketika ini," kata Juwaidi ketika ditemui selepas lawatan Ketua Kontinjen (CDM) ke Sukan Asia Hangzhou, Datuk Chong Kim Fatt, hari ini.

Sebelum ini, Juwaidi menggunakan busur jenama HOYT, juga dari Amerika Syarikat (AS), namun dia berasa lebih serasi dengan PSE Archery yang baru kira-kira dua minggu digunakan.

Menurutnya, sistem FDS (kestabilan penuh) yang ada pada busur itu sangat stabil dan teknologi ini belum ada pada busur jenama lain.

"Ia banyak membantu ketika membuat panahan dan lebih mudah untuk saya menggunakan kaedah memanah yang sering digunakan.

"Jika menggunakan busur lain, akan berlaku gangguan pergerakan, tetapi busur ini (PSE) tidak bergerak dan sangat stabil," katanya.

Dia meraih beberapa pencapaian memberangsangkan sepanjang tahun ini termasuk pingat perak di Kejohanan Piala Asia Singapura, Jun lalu.

Juwaidi akan beraksi dalam acara compound individu, berpasukan campuran dan lelaki di Hangzhou.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2023 @ 5:22 PM